Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Keyakinan Terhadap Ekonomi Malaysia
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ringgit kembali ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia susulan sentimen positif terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta jangkaan pertumbuhan domestik yang berterusan, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0745/0790 berbanding dolar AS daripada paras 4.0865/0900 pada Selasa.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun dolar AS kekal kukuh menjelang keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS), daya tahan ringgit menunjukkan bahawa asas ekonomi domestik berkemungkinan menjadi penampan penting dalam mendepani ketidakpastian luaran.
“Jangkaan kemungkinan penyelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh memberikan sokongan tambahan kepada mata wang tempatan, walaupun hala tuju dalam tempoh terdekat akan terus dipengaruhi oleh perkembangan dasar monetari AS serta risiko geopolitik,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, Ringgi ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain
Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4130/4190 daripada 5.4412/4458 pada Selasa, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5812/5843 daripada 2.5903/5927 serta naik berbanding euro kepada 4.5337/5387 daripada 4.5524/5563.
Ringgit juga ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1775/1813 daripada 3.1883/1913 pada Selasa, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.0/224.4 daripada 225.0/225.3, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.0726/0902 daripada 12.1010/1160, namun kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.36/6.37.
-- BERNAMA