Sebanyak RM3.8 Bilion Pembiayaan SME SRF Diluluskan Untuk 6,800 Akaun PKS
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) telah diluluskan setakat 30 Sept 2026, yang memanfaatkan lebih 6,800 akaun perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) memaklumkan kelulusan itu adalah di bawah peruntukan awal kemudahan itu yang berjumlah RM5 bilion, berdasarkan laporan BNM.
“Tambahan RM5 bilion yang diumumkan melalui Belanjawan 2027 menjadikan jumlah peruntukan kepada RM10 bilion, sekali gus memperluas sokongan modal kerja dengan kadar berpatutan kepada lebih banyak perniagaan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Persatuan itu mengulangi komitmen industri perbankan untuk membantu PKS yang terjejas termasuk perusahaan mikro, mendapatkan modal kerja dan bantuan kewangan yang bersesuaian berikutan kemudahan yang diperluaskan itu.
Menurut kenyataan itu, SME SRF menyediakan sokongan kepada PKS berdaya maju yang menghadapi tekanan aliran tunai sementara akibat konflik di Asia Barat termasuk gangguan terhadap perdagangan global dan rantaian bekalan bagi membantu mereka meneruskan operasi perniagaan.
“Institusi ahli yang mengambil bahagian akan terus membantu PKS yang layak dalam memahami keperluan kemudahan ini, menyediakan permohonan dan mengenal pasti pilihan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.
“Selain pembiayaan baharu, bank akan bekerjasama dengan perniagaan yang menghadapi kesukaran kewangan untuk menilai bantuan yang bersesuaian, yang mungkin merangkumi fleksibiliti pembayaran balik atau penstrukturan semula kemudahan sedia ada berdasarkan keadaan mereka,” menurut kenyataan itu.
Persatuan-persatuan ini juga akan menyokong usaha jangkauan dan pendidikan kewangan bagi membantu PKS mengurus kewangan dengan lebih baik dan mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai mengenai bantuan yang tersedia.
Menurutnya usaha-usaha ini melengkapi penglibatan berterusan industri dengan perniagaan bagi mengenal pasti cabaran lebih awal dan meneroka penyelesaian yang praktikal.
Permohonan kemudahan SME SRF masih dibuka kepada PKS yang terjejas daripada semua sektor ekonomi sehingga 30 Jun 2027 atau sehingga keseluruhan peruntukan pembiayaan digunakan sepenuhnya, mengikut mana-mana yang berlaku terlebih terdahulu.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh merujuk laman web BNM di https://www.bnm.gov.my/funds4sme untuk mendapatkan senarai bank yang mengambil bahagian atau menghubungi bank masing-masing secara terus.
-- BERNAMA