Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Tinggi, Kebimbangan Berkaitan Pengeluaran
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap paras inventori Malaysia yang tinggi serta jangkaan pengeluaran yang kukuh pada Oktober.
Peniaga Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran yang lemah berterusan meskipun harga minyak mentah meningkat, sekali gus memberikan sokongan terhad kepada pasaran minyak sawit.
“Kami mengesan paras sokongan segera sekitar RM4,650 satu tan, manakala paras rintangan dijangka pada RM4,800, dengan hala tuju pasaran kekal sensitif terhadap paras inventori dan permintaan eksport,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 susut RM8 kepada RM4,454 satu tan, Disember 2026 turun RM19 kepada RM4,591 dan Januari 2027 berkurangan RM16 kepada RM4,685.
Kontrak Februari 2027 merosot RM18 kepada RM4,777 satu tan, Mac 2027 susut RM24 kepada RM4,855, manakala April 2027 turun RM27 kepada RM4,910.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 66,192 lot daripada 101,228 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 338,941 kontrak daripada 342,815 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi November Selatan susut RM10 kepada RM4,480 satu tan.
-- BERNAMA