BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat dasar | KKM buka permohonan fasa pertama pelantikan khas tetap 750 kekosongan Pegawai Perubatan Gred UD10 di Sabah, Sarawak pada 9-15 Nov | PRN Melaka: BN setuju beri MCA satu lagi kerusi untuk ditandingi, iaitu DUN Bandar Hilir - Wee Ka Siong | 14,706 kandungan CSAM, 5,178 laman web lucah dan 828,438 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2022 hingga Sept - Fahmi | Filem tayangan umum masih tertakluk penapisan LPF, 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang kutip RM129.86 juta setakat 8 Okt - Fahmi | 

CIMB Niaga Catat Keuntungan Sebelum Cukai 5.8 Trilion Rupiah Pada Suku Ketiga 2026

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) --Keuntungan sebelum cukai anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk, bagi suku ketiga 2026 berakhir 30 September 2026, berjumlah 5.8 trilion rupiah yang membawa kepada pendapatan sesaham sebanyak 178.65 rupiah (RM1 = 4,458.71 rupiah).

Pengarah presiden pengarah merangkap ketua pegawai eksekutifnya Lani Darmawan berkata keuntungan operasi sebelum peruntukan (PPoP) kekal stabil pada 8.2 trilion rupiah, manakala pendapatan bukan faedah meningkat 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun keuntungan terjejas akibat penyusutan margin dan peruntukan yang lebih tinggi sebagai sebahagian daripada pendekatan berhemat kami terhadap pengurusan risiko kredit, kami terus mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Lani berkata kedudukan modal dan kecairan bank kekal kukuh, dengan nisbah kecukupan modal (CAR) sebanyak 23.7 peratus, sekali gus menyediakan asas teguh untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Menurut kenyataan tersebut, CIMB Niaga mengekalkan kedudukan modal dan kecairan yang kukuh, dengan nisbah kecukupan modal (CAR) serta nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) masing-masing pada kadar 23.7 peratus dan 87.7 peratus.

Jumlah aset disatu mencecah 384.8 trilion rupiah setakat 30 September 2026, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus mengukuhkan kedudukan bank tersebut sebagai bank milik swasta kedua terbesar di Indonesia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jumlah deposit mencatatkan 273.7 trilion rupiah, didorong terutamanya oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus dalam akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kepada 197.0 trilion rupiah, sekali gus meningkatkan nisbah CASA kepada 72.0 peratus.

CIMB Niaga Syariah kekal sebagai unit perniagaan Islam terbesar (Unit Usaha Syariah) di Indonesia, mencatatkan jumlah pembiayaan 49.4 trilion rupiah dan deposit 52.5 trilion rupiah setakat 30 Sept 2026.

Pertumbuhan pembiayaannya didorong oleh penambahbaikan strategik terhadap campuran portfolio, dengan tumpuan utama diberikan kepada segmen perniagaan yang menjana pulangan lebih tinggi bagi meningkatkan keuntungan serta menyokong kelestarian perniagaan jangka panjang.

Bagi mengukuhkan komitmennya terhadap pertumbuhan mampan, CIMB Niaga terus memperluas penyelesaian pembiayaan yang mencipta impak positif terhadap alam sekitar dan sosial, di samping menyokong agenda pembangunan mampan Indonesia.

“Setakat tempoh sembilan bulan pertama 2026, pembiayaan lestari berjumlah 65 trilion rupiah, bersamaan dengan 26.6 peratus daripada jumlah pembiayaan tertunggak bank,” maklum bank tersebut.

Susulan persekitaran operasi yang terus tidak menentu, Lani berkata CIMB Niaga mengekalkan prestasi operasi yang stabil, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam perniagaan terasnya, pengurusan kos berdisiplin, serta tumpuan terhadap kecekapan operasi secara konsisten.

Pada masa depan, katanya, bank itu akan terus mengemudi keadaan ekonomi yang sentiasa berubah-ubah dengan berhemat selain mengambil langkah-langkah untuk menangani cabaran meraih keuntungan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kami termasuk mengukuhkan kualiti aset, menyasarkan pertumbuhan pinjaman secara selektif, mengoptimumkan campuran pembiayaan, serta meningkatkan pendapatan yuran berulang, yang disokong oleh disiplin kos yang berterusan,” katanya.

-- BERNAMA