BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat dasar | KKM buka permohonan fasa pertama pelantikan khas tetap 750 kekosongan Pegawai Perubatan Gred UD10 di Sabah, Sarawak pada 9-15 Nov | PRN Melaka: BN setuju beri MCA satu lagi kerusi untuk ditandingi, iaitu DUN Bandar Hilir - Wee Ka Siong | 14,706 kandungan CSAM, 5,178 laman web lucah dan 828,438 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2022 hingga Sept - Fahmi | Filem tayangan umum masih tertakluk penapisan LPF, 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang kutip RM129.86 juta setakat 8 Okt - Fahmi | 

Estek Labur RM20 Juta Perluas Keupayaan Pembuatan Semikonduktor Di Batu Kawan

BATU KAWAN, 29 Okt (Bernama) -- Estek Automation Sdn Bhd melabur RM20 juta dalam kemudahan pembuatan baharu seluas 50,000 kaki persegi di Batu Kawan, Pulau Pinang, bagi memperluas keupayaan dalam pembuatan peralatan semikonduktor, penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan kontrak.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pelaburan itu mencerminkan peningkatan keupayaan syarikat kejuruteraan tempatan dalam membangunkan teknologi dan kepakaran sendiri bagi memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

Beliau berkata kemudahan baharu itu merupakan pencapaian penting bagi Estek, sekali gus membolehkannya menawarkan penyelesaian bernilai tambah lebih tinggi dan memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem semikonduktor.

Ad Banner
Ad Banner

“Usaha syarikat tempatan seperti Estek melabur untuk memperkukuh keupayaan sendiri amat menggalakkan dan mencerminkan aspirasi serta keupayaan syarikat kejuruteraan tempatan yang semakin berkembang,” katanya pada majlis perasmian kemudahan itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Estek Automation Jacky Lee Joo Seng, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang Datuk Seri Loo Lee Lian.

Ditubuhkan pada 2015, Estek ialah syarikat kejuruteraan dan automasi tempatan yang mengkhusus dalam peralatan automasi semikonduktor dan penyelesaian pembuatan pintar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Lee berkata kemudahan baharu itu akan membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti pembuatan, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menarik tenaga kerja mahir bagi menyokong pembangunan produk baharu.

Beliau berkata operasi syarikat tertumpu pada tiga bidang utama, iaitu peralatan semikonduktor, pembuatan kontrak berketepatan tinggi serta penyelesaian berasaskan data dan AI.

Dalam bidang peralatan semikonduktor, Estek mereka bentuk dan menghasilkan mesin pengisih cip (die sorter), sistem pemeriksaan wafer serta penyelesaian automasi termaju untuk aplikasi industri.

Perkhidmatan pembuatan kontraknya merangkumi pemasangan dan integrasi peralatan, manakala penyelesaian berasaskan data dan AI bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, kualiti produk dan produktiviti.

Lee berkata Estek turut menyasarkan peluasan pasaran antarabangsa serta pembangunan lebih banyak teknologi proprietari bagi meningkatkan daya saing syarikat Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global.

“Ekosistem semikonduktor Malaysia yang disokong oleh syarikat multinasional, rantaian bekalan tempatan yang mantap dan tenaga kerja mahir menyediakan peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada industri,” katanya.

Beliau berkata Estek kekal komited untuk membangunkan bakat tempatan, memperkukuh keupayaan teknikal dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menceburi industri berteknologi tinggi.

Lee turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta agensi berkaitan lain atas sokongan berterusan dalam memperkukuh ekosistem pembuatan dan semikonduktor negara.

-- BERNAMA