BERITA TERKINI   Laporan kaitkan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia tidak berasas, palsu - MB Johor | Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat dasar | KKM buka permohonan fasa pertama pelantikan khas tetap 750 kekosongan Pegawai Perubatan Gred UD10 di Sabah, Sarawak pada 9-15 Nov | PRN Melaka: BN setuju beri MCA satu lagi kerusi untuk ditandingi, iaitu DUN Bandar Hilir - Wee Ka Siong | 14,706 kandungan CSAM, 5,178 laman web lucah dan 828,438 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2022 hingga Sept - Fahmi | 

Projek Solar Terapung Chereh RM850 Juta Bakal Wujudkan 1,500 Peluang Pekerjaan

KUANTAN, 29 Okt (Bernama) -- Projek solar fotovolta (PV) terapung bernilai RM850 juta di Empangan Chereh dijangka mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan serta menjana tenaga elektrik bersih yang bersamaan dengan penggunaan tahunan 100,000 isi rumah.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah projek kerjasama Citaglobal Bhd, Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan Tiza Global Sdn Bhd itu merupakan inisiatif penting bagi memperkasa penggunaan tenaga boleh baharu di negeri ini.

Baginda bertitah projek berkenaan bakal menjadi antara projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita harap projek ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan disiapkan secepat mungkin,” titah baginda kepada pemberita selepas berkenan merasmikan majlis pecah tanah projek Solar PV Terapung Empangan Chereh di sebuah hotel di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Citaglobal Bhd Datuk Aimi Aizal Nasharuddin berkata pembinaan projek itu dijangka bermula pada Januari atau Februari tahun depan dan siap pada penghujung Mac 2028.

Beliau berkata projek berkapasiti 200 megawatt (MW) itu akan meliputi kira-kira 1,500 ekar (600 hektar) permukaan air dan dijangka menyediakan 1,500 peluang pekerjaan, khususnya sepanjang tempoh pembinaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Peluang pekerjaan itu merangkumi pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan, pembinaan, ukur air, kejuruteraan elektrik serta bidang profesional lain yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Citaglobal New Energy Sdn Bhd Datuk Chairil Nazri Ahmad berkata penggunaan teknologi solar terapung berpotensi meningkatkan kecekapan penjanaan elektrik kerana suhu panel yang dipasang di atas air lebih rendah berbanding panel di darat.

Beliau berkata pemasangan panel solar di permukaan takungan turut berpotensi mengurangkan kadar penyejatan air, sekali gus membantu mengekalkan simpanan air empangan.

“Kapasiti panel solar yang dipasang dianggarkan sebanyak 307 MW, manakala kapasiti maksimum penyaluran elektrik ke grid ialah 200 MW.

“Penjanaan sebenar bergantung pada keadaan cuaca dan jumlah cahaya matahari yang diterima, manakala elektrik yang dijana akan disalurkan ke grid untuk diagihkan kepada pengguna,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Eksekutif merangkap Presiden Citaglobal Bhd Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Pengarah Eksekutif Projek dan Pembangunan Perniagaan Masdar Abdulla Zayed.

-- BERNAMA