BERITA TERKINI   Anwar sambut baik perjanjian persefahaman peruntukan, tiada syarat dikenakan kepada Ahli Parlimen pembangkang | CSA antara Ahli Parlimen bukan perkara janggal, pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu - PM | PRN Melaka: Sebanyak 189 borang penamaan calon telah dibeli setakat semalam - Pengerusi SPR | 

Lima Sektor Utama Berpotensi Dibangunkan Di Nexus Sedenak - Invest Johor

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Invest Johor mengenal pasti lima sektor utama berpotensi dibangunkan di Nexus Sedenak yang bakal muncul sebagai hab perindustrian dan rantaian bekalan baharu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss berkata sektor berkenaan merangkumi pembuatan termaju, logistik bersepadu, teknologi pertanian dan makanan, teknologi hijau serta industri farmaseutikal.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kedudukan strategik Nexus Sedenak, disokong pembangunan infrastruktur serta akses kepada rangkaian pengangkutan utama dijangka meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Bagi sasaran pelaburan dan peluang pekerjaan berkenaan, pencapaiannya dijangka berlaku secara berperingkat mengikut fasa pembangunan kawasan, kesiapsiagaan infrastruktur serta kemasukan dan pelaksanaan projek pelaburan.

“Invest Johor akan terus bekerjasama dengan pihak pemaju, agensi berkaitan dan pemain industri bagi membantu mempercepatkan realisasi pelaburan serta memastikan peluang pekerjaan yang diwujudkan dapat dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lepas berkata Nexus Sedenak bakal menjadi kutub baharu industri di utara JS-SEZ, dengan potensi pelaburan 12 bilion ringgit dan 45,000 pekerjaan.

Mengulas lanjut, Natazha berkata Invest Johor menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 yang memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan JS-SEZ, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh Johor sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini.

Beliau berkata pembangunan Nexus Sedenak dan pelaksanaan pendekatan Queen Bee merupakan inisiatif yang saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem pelaburan negeri.

“Nexus Sedenak akan membuka kawasan pertumbuhan industri baharu, manakala pendekatan Queen Bee dapat menarik syarikat peneraju global bersama ekosistem rantaian bekalan mereka,” katanya.

Menurut Natazha, pendekatan Queen Bee penting dalam menarik pelaburan berimpak tinggi kerana kehadiran syarikat peneraju bukan sahaja membawa pelaburan langsung, malah berpotensi menarik pembekal, rakan teknologi dan syarikat sokongan dalam rantaian bekalan mereka.

Beliau berkata penubuhan Pasukan Petugas Khas akan memperkukuh penyelarasan antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam menangani keperluan pelabur melibatkan kelulusan, infrastruktur, utiliti serta tenaga kerja.

“Melalui penyelarasan yang lebih bersepadu, proses membuat keputusan dan pelaksanaan pelaburan dapat dipermudah dan dipercepatkan,” katanya.

Natazha berkata Invest Johor juga bersedia memainkan peranan sebagai penghubung dan pemudah cara kepada pelabur serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaburan strategik dapat direalisasikan.

Keutamaan seterusnya adalah memastikan inisiatif berkenaan diterjemahkan kepada pelaburan sebenar, peluang pekerjaan bernilai tinggi serta limpahan ekonomi yang memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan rakyat Johor, kata beliau.

– BERNAMA