HSBC Naikkan Unjuran Pertumbuhan KDNK Malaysia Bagi 2026 Kepada 5.5 Peratus
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- HSBC menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.5 peratus daripada 5.2 peratus, tahun ketiga berturut-turut melepasi paras lima peratus, menurut HSBC.
Dalam laporan HSBC Global Investment Research, ahli ekonomi kanan ASEAN Yun Liu berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi perdagangan yang lebih baik daripada jangkaan mengekalkan momentum.
“Kita akan mendapat lebih banyak butiran daripada pecahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk perbelanjaan melalui pengumuman KDNK bagi suku ketiga pada 18 November ini. Penggunaan swasta dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Pengguna berada pada kedudukan yang jauh lebih baik untuk berbelanja berbanding pengguna di negara serantau berikutan Malaysia mencatatkan kadar inflasi terendah di rantau ini, didorong oleh pemberian subsidi yang berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kadar inflasi terendah di ASEAN, dengan purata inflasi keseluruhan sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun dan inflasi teras kekal rendah kira-kira 2 peratus tahun ke tahun.
“Hal ini demikian kerana Malaysia terus mengekalkan pemberian subsidi, terutamanya bagi petrol RON95. Rakyat Malaysia masih menikmati harga petrol RON95 yang amat rendah, iaitu RM1.99 seliter, dengan kuota bulanan sebanyak 300 liter bagi setiap pengguna yang layak.
“Mungkin terdapat kebimbangan sama ada pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan menyebabkan peningkatan inflasi domestik,” katanya.
Bagaimanapun, katanya negara-negara Asia yang mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) - termasuk Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia - belum menyaksikan peningkatan inflasi secara menyeluruh.
Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Yun Liu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka membuat pelarasan ke arah normalisasi kadar tersebut, bukan sebagai tindak balas terhadap inflasi, sebaliknya sebagai langkah awal untuk menghadapi risiko ekonomi.
BNM mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada 2.75 peratus sejak September 2025, menurut laporan itu.
“Secara keseluruhannya, kami tidak menjangka kenaikan kadar pada November tetapi menarik untuk melihat sama ada mesyuarat minggu depan akan memberikan isyarat yang lebih jelas ke arah dasar monetari yang ketat, sekali gus membuka ruang kepada kenaikan kadar pada tahun depan.
“Kami mengunjurkan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027,” katanya.
-- BERNAMA