BERITA TERKINI   Inisiatif Dana Inovasi Media diteruskan melalui pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0, pastikan industri media terus diperkasa - Fahmi | Perdana Menteri minta KPDN, Kementerian Komunikasi melalui MCMC ambil tindakan berkait penipuan dalam platform e-dagang - Fahmi | Jemaah Menteri bersetuju Rang Undang-Undang Pindaan AUKU dibentang di Parlimen pada Disember ini - Fahmi | CSA tidak terbatas, terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk tandatangan - Fahmi | CSA merupakan satu perkembangan positif terhadap kestabilan politik negara, mencerminkan semangat kebersamaan - Fahmi | 

Dialog Rancang Pelaburan Tambahan RM3 Bilion Kembang Terminal Laut Dalam Pengerang

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) --  Dialog Group Bhd merancang pelaburan tambahan sebanyak RM3 bilion antara tahun 2027 dan 2030 bagi menyokong pembangunan berterusan Terminal Laut Dalam  Pengerang (PDT).

Menurut Dialog, pelaburan yang dirancang itu akan dipacu oleh permintaan pelanggan, daya maju komersial, serta penyelarasan strategik dengan ekosistem Pengerang yang lebih luas bagi mengukuhkan lagi kedudukan terminal tersebut sebagai hab penyimpanan tenaga dan logistik serantau utama.

Ad Banner
Ad Banner

"Dialog sedang giat melibat urus dengan pelanggan yang berpotensi serta pemain industri bagi memulakan fasa pertumbuhan seterusnya untuk hab tenaga dan perindustrian strategik tersebut," maklum  syarikat itu kepada Bernama.

Menurut Dialog, perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik sahaja perjanjian dimuktamadkan dan memperoleh kelulusan yang diperlukan.

Penyedia perkhidmatan teknikal pakar bersepadu bagi industri minyak, gas dan petrokimia itu memaklumkan jumlah pelaburan dalam PDT setakat ini telah melebihi RM14 bilion, mencerminkan komitmen berterusan daripada para pemegang saham dan pelanggan manakala kira-kira 267 hektar tanah masih tersedia untuk pembangunan pada masa depan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pengembangan Fasa 3 yang dilaksanakan di bawah perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan BP Singapore Pte Limited dijangka siap menjelang pertengahan 2028 dan akan menambah kapasiti penyimpanan sebanyak kira-kira 614,000 meter padu bagi produk petroleum bertapis serta bahan api bio.

"Apabila pengembangan Fasa 3 dan pembangunan kemudahan penyimpanan tambahan Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) untuk menyokong projek Biorefinari Pengerang siap kelak, jumlah kapasiti penyimpanan operasi PDT dijangka meningkat daripada kira-kira empat juta meter padu pada masa ini kepada sekitar lima juta meter padu menjelang 2028,” maklumnya.

Dari segi prestasi operasi, Dialog memaklumkan PDT mengendalikan lebih daripada 2,000 singgahan kapal dan mencatatkan jumlah pengendalian kargo kira-kira 45 juta tan bagi  tahun kewangan 2025 dan juga 2026, manakala kadar penggunaan terminal kekal konsisten melebihi 90 peratus. 

"Kumpulan juga sedang memperluas keupayaannya dalam infrastruktur tenaga rendah karbon, dengan PT2SB membangunkan kapasiti penyimpanan khusus tambahan sebanyak 272,000 meter padu untuk menyokong Kilang Biopenapisan Pengerang.

"Kemudahan ini akan menghasilkan bahan api penerbangan lestari (SAF) serta diesel boleh baharu dan dijadualkan siap pada separuh pertama 2028," maklum syarikat itu.

Menurutnya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berupaya memperkukuh lagi perdagangan rentas sempadan, pelaburan, dan integrasi rantaian bekalan, sekali gus mewujudkan peluang untuk menarik pelaburan tambahan ke Pengerang serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab tenaga dan perindustrian serantau yang strategik.

-- BERNAMA