Worldwide Holdings Terima Pengiktirafan Pembangun Sisa Kepada Tenaga Terbaik
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Worldwide Holdings Bhd (WHB) telah menerima pengiktirafan sebagai Pembangun Sisa Kepada Tenaga (WTE) Terbaik pada BusinessToday Industry Choice Awards 2026, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan WHB untuk mentransformasikan sisa kepada sumber bernilai.
WHB dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan ini mencerminkan keupayaannya yang semakin berkembang dalam bidang WTE serta komitmen untuk memajukan penyelesaian pengurusan sisa moden yang mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan, memulihkan nilai daripada sisa dan menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon serta ekonomi kitaran.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata kumpulan itu berbangga kerana perjalanan WHB dalam bidang WTE bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kritikal, malah turut memperkukuh keupayaan tempatan dan memupuk bakat Malaysia dalam sektor tenaga ini.
“Perkara ini amat penting dalam membangunkan kepakaran yang diperlukan bagi memperluas pelaksanaan WTE di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.
Antara pemangkin utama dalam perjalanan ini ialah kemudahan WTE Jeram di Selangor, yang merupakan pembangunan WTE terbesar di Malaysia.
Loji pertamanya telah memulakan operasi komersial pada Mei 2026, sekali gus menandakan langkah penting dalam pengurusan sisa pepejal perbandaran melalui penjanaan tenaga daripada sisa yang sebaliknya akan dihantar ke tapak pelupusan.
-- BERNAMA