Untung Bersih Suku Ketiga IGB REIT Meningkat Kepada RM144.15 Juta
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM144.15 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2026 daripada RM95.62 juta pada suku sama tahun lepas.
Perolehan meningkat kepada RM249.33 juta daripada RM165.19 juta pada suku kedua 2026.
Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 30 Sept 2026, keuntungan bersih IGB REIT meningkat kepada RM446.23 juta daripada RM294.70 juta manakala perolehan turut menokok kepada RM751.62 juta daripada RM496.72 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan perolehan, pendapatan bersih hartanah dan keuntungan selepas cukai yang lebih tinggi sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan dan keuntungan tambahan daripada Mid Valley Southkey Mall (MVS) dan pendapatan sewa yang meningkat daripada Mid Valley Megamall (MVM) dan The Gardens Mall (TGM).
Menurut IGB REIT ketiga-tiga pusat beli-belah berkenaan terus menunjukkan daya tahan, disokong oleh kadar penghunian yang tinggi, peningkatan kadar sewa yang positif serta permintaan yang kukuh daripada penyewa.
“Lokasi strategik portfolio, kelompok pelanggan setia dan penyewa yang pelbagai menyediakan asas kukuh untuk mengekalkan prestasi mampan,” menurutnya.
IGB REIT memaklumkan akan terus memberikan tumpuan kepada usaha penyewaan secara proaktif, mengoptimumkan kepelbagaian penyewa, melaksanakan inisiatif penambahbaikan aset serta mengurus kos secara berhemat bagi memastikan pusat beli-belahnya kekal berdaya saing.
“Walaupun sektor peruncitan secara keseluruhannya berdepan pelbagai cabaran, IGB REIT kekal dalam kedudukan yang baik untuk menjana pendapatan sewaan yang mampan dan mengekalkan pengagihan yang stabil kepada pemegang unit,” menurutnya.
-- BERNAMA