BERITA TERKINI   PRN Melaka: PH bertanding 24 kerusi, BN (23), Bersama (16), Bersatu (tujuh), PN (lima), Putra (satu) dan Bebas (tiga) - Pengerusi SPR | Seramai 79 calon daripada pelbagai parti disahkan bertanding pada PRN Melaka ke-16 - Pengerusi SPR | PRN Melaka: Pertembungan tiga penjuru di DUN Machap Jaya babitkan calon PH, BN, BERSAMA - Pegawai Pengurus Pilihan Raya | PRN Melaka: Calon BN Akmal Saleh berhadapan saingan satu lawan satu menentang calon PH Rahayu Hamzah di DUN Merlimau | BN sokong pemeteraian CSA, cadang diperluas kepada parti lain - Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Dalam RM4,100 Hingga RM4,250 Setiap Tan Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak menentu minggu depan dengan harga diunjurkan bergerak dalam lingkungan RM4,100 hingga RM4,250 setiap tan, berikutan kebimbangan terhadap paras stok yang tinggi.

Pedagang Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 3.51 juta tan pada September, paras tertinggi yang direkodkan tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Keadaan ini sedikit sebanyak akan mendorong pembeli fizikal berpotensi untuk mengurangkan sebahagian stok inventori sekiranya harga mencapai paras tersebut,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa permintaan fizikal berkemungkinan besar datang dari China, India, Pakistan dan Asia Barat.

Sementara itu, Pedagang Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran dijangka diniagakan secara berhati-hati dengan kecenderungan positif yang sederhana, disokong oleh pasaran tenaga yang kukuh yang boleh memberi sedikit sokongan kepada harga MSM.

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan harga berkemungkinan terhad berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran minyak sawit pada Oktober yang boleh menyebabkan paras stok terus meningkat dan menjejaskan sentimen pasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 susut RM138 kepada RM4,449 setiap tan, kontrak Disember 2026 menurun RM145 kepada RM4,588 setiap tan manakala kontrak Januari 2027 merosot RM137 kepada RM4,681 setiap tan.

Sementara itu, kontrak Februari 2027 susut RM141 kepada RM4,761 setiap tan, kontrak Mac 2027 menurun RM150 kepada RM4,826 setiap tan manakala kontrak April 2027 merosot RM167 kepada RM4,863 setiap tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurang kepada 363,163 lot daripada 538,346 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 337,166 kontrak pada Jumaat daripada 341,116 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi penghantaran November Selatan susut RM90 kepada RM4,460 setiap tan.

-- BERNAMA