BERITA TERKINI   PRN Melaka: PH bertanding 24 kerusi, BN (23), Bersama (16), Bersatu (tujuh), PN (lima), Putra (satu) dan Bebas (tiga) - Pengerusi SPR | Seramai 79 calon daripada pelbagai parti disahkan bertanding pada PRN Melaka ke-16 - Pengerusi SPR | PRN Melaka: Pertembungan tiga penjuru di DUN Machap Jaya babitkan calon PH, BN, BERSAMA - Pegawai Pengurus Pilihan Raya | PRN Melaka: Calon BN Akmal Saleh berhadapan saingan satu lawan satu menentang calon PH Rahayu Hamzah di DUN Merlimau | BN sokong pemeteraian CSA, cadang diperluas kepada parti lain - Ahmad Zahid | 

Ringgit Diunjur Diniagakan Dalam Julat Kecil Minggu Depan Menjelang Pengumuman OPR

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika peniaga menumpukan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sebarang potensi kenaikan OPR itu akan hanya memacu sokongan terhadap ringgit ketika BNM dikatakan sedang mempertimbang usaha penormalan kadar dasar berikutan trajektori pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, julat ringgit diniagakan berbanding dolar AS adalah dalam RM4.05 hingga RM4.07 pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata sebarang kemungkinan krisis Asia Barat menjadi lebih meruncing akan hanya mendorong kenaikan harga minyak dan peningkatan premium tempoh Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST).

Keadaan itu boleh memulihkan penurunan hasil bon 10 tahun ke bawah paras 5.00 peratus, sekali gus menghidupkan semula permintaan terhadap dolar AS.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelabur dijangka kekal berhati-hati ketika proses pilihan raya pertengahan penggal AS (pada 3 November) yang hanya mendedahkan potensi kenaikan nilai ringgit kepada risiko.

“Berikutan itu, kami menjangkakan ringgit bergerak dalam julat RM4.04 hingga RM4.08 minggu depan manakala sasaran kami pada RM4.00 menjelang akhir tahun masih boleh dicapai,” maklum bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan.

Sementara itu bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0555/0600 daripada 4.0835/0875 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan meningkat berbanding mata wang utama lain pada minggu ini.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5782/5812 daripada 2.6076/6103 pada Jumaat minggu lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.4461/4522 daripada 5.4633/4687 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5413/5464 daripada 4.5735/5780 seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1753/1791 daripada 3.1952/1986 pada Jumaat minggu lepas dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 223.4/223.8 daripada 225.8/226.1.

Mata wang tempatan juga naik berbanding baht Thailand kepada 12.0373/0561 daripada 12.0985/1154 seminggu lepas dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.36/6.37 daripada 6.42/6.43 sebelum ini.

-- BERNAMA