Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh prestasi Wall Street yang lemah pada Jumaat lepas, menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 8.24 mata atau 0.51 peratus kepada 1,607.36 daripada 1,615.60 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ad Banner
Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.39 mata kepada 1,613.21.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 430 berbanding 64 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,970 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 216.60 juta unit bernilai RM98.99 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah dengan ketara apabila prestasi pendapatan Intel dan Amazon yang mengecewakan meningkatkan kebimbangan terhadap perbelanjaan modal yang besar diperlukan untuk pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun menurun kepada kira-kira 4.93 peratus manakala harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$117.64 setong berikutan kebimbangan baharu mengenai bekalan minyak dari rantau Asia Barat.

“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran berada dalam julat 1,610 hingga 1,620 hari ini, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah di kaunter perbankan, perladangan dan defensif,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun dua sen kepada RM10, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM13.20 dan RM7.75, CIMB merosot tujuh sen kepada RM6.84 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.77.

Dalam dagangan aktif, Zetrix AI dan Jaks Resources, masing-masing berkurangan setengah sen kepada enam sen dan 14 sen, Dagang Nexchange merosot satu sen kepada 42 sen manakala GIIB Holdings naik 7.5 sen kepada 43.5 sen dan Ni Hsin menambah 1.5 sen kepada 27.5 sen.

Manulife Holdings mendahului senarai kaunter paling untung, meningkat 11 sen kepada RM2.39, Mega Fortris dan Westports, masing-masing menambah sembilan sen kepada RM2.31 dan RM6.94 serta Hap Seng Plantations naik tujuh sen kepada RM2.31.

Kaunter paling rugi ialah Nestle menurun 70 sen kepada RM95.24, MPI berkurangan 58 sen kepada RM39.20, United Plantations merosot 30 sen kepada RM28.92, Vitrox menyusut 28 sen kepada RM10.62 dan Kluang Rubber menurun 23 sen kepada RM6.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 67.17 mata kepada 11,994.56 dan Indeks FBM Top 100 berkurangan 65.06 mata kepada 11,798.80. 

Indeks FBM Mid 70 menyusut 114.50 mata kepada 17,306.19, Indeks FBM Emas Shariah menurun 81.33 mata kepada 12,001.58 dan Indeks FBM ACE merosot 59.40 mata kepada 5,344.51.  

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.99 mata kepada 177.38, Indeks Tenaga berkurangan 5.53 mata kepada 846.63, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 41.50 mata kepada 18,506.49 dan Indeks Perladangan menyusut 29.0 mata kepada 8,668.42.

-- BERNAMA