Pembangunan Tenaga Kerja Mahir Penting Untuk Masa Depan Penjanaan Kuasa Malaysia

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 2 Nov Bernama) -- Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas tahunan keempat, yang akan dianjurkan Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) pada 4 November ini, dijangka memainkan peranan penting dalam menonjolkan kepentingan pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga bagi menyokong sektor penjanaan kuasa Malaysia yang semakin berkembang.

Persidangan yang dianjurkan CGN Energy International Holdings Co Ltd (CGNEI) selaku pemegang saham Edra akan menggunakan pendekatan baharu dengan memberi peluang kepada peserta untuk mendalami operasi praktikal sistem penjanaan kuasa turbin gas yang canggih.

Ad Banner
Ad Banner

Buat julung kalinya, persidangan itu akan diadakan di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC) yang baru ditubuhkan di kawasan Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), sekali gus memberi peluang unik kepada peserta untuk menghubungkan pengetahuan teknikal dengan operasi sebenar loji jana kuasa.

Timbalan Ketua CGNEI GTSTC Calvin Goh berkata pusat itu dibangunkan sebagai hab latihan bertaraf dunia yang melangkaui latihan dalam bilik darjah secara konvensional dengan menghubungkan pembelajaran teknikal kepada keperluan sebenar dalam mengendalikan loji jana kuasa.

Menurutnya pusat itu berada pada kedudukan baik untuk melahirkan tenaga profesional dalam bidang penjanaan kuasa turbin gas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Matlamat jangka panjang usaha ini adalah untuk menyumbang kepada pembangunan bakat dalam industri penjanaan kuasa yang lebih meluas di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Objektif nasional itu turut disokong oleh EMPP, pengeluar tenaga bebas (IPP) yang dimiliki dan dikendalikan oleh Edra dan diiktiraf sebagai loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) terbesar di Asia Tenggara, yang berperanan penting dalam landskap tenaga Malaysia.

 

Latihan di CGNEI GTSTC berbeza daripada kursus diadakan di dewan hotel

Dari perspektif industri penjanaan kuasa, penubuhan CGNEI GTSTC bertujuan menyediakan latihan di satu daripada loji jana kuasa berasaskan gas paling cekap dan sedang beroperasi ketika ini, katanya sambil memaklumkan bahawa rantau ini mengalami kekurangan tenaga kerja mahir.

“Peluang melihat secara dekat loji jana kuasa turbin gas canggih selepas mempelajarinya secara teori merupakan perkara yang membezakan CGNEI GTSTC daripada kursus yang diadakan di dewan hotel,” kata Goh.

Kalangan pemimpin industri penjanaan kuasa, penyedia teknologi, pakar teknikal dan pihak berkepentingan lain akan berhimpun di bandar bersejarah Melaka untuk bertukar-tukar ilmu, meneroka kemajuan teknologi dan memperkukuh kerjasama merentasi rantaian nilai penjanaan kuasa turbin gas.

Goh berkata industri ini memerlukan satu platform yang membolehkan operator loji, kakitangan penyelenggaraan, jurutera kebolehpercayaan dan graduan muda untuk berkongsi pengetahuan praktikal dan belajar bersama-sama melalui pengalaman di loji yang sedang beroperasi.

“Sehubungan itu, pusat berkenaan memanfaatkan pengalaman operasi sebenar dan contoh praktikal bagi membantu peserta mengaplikasikan konsep teknikal dalam operasi loji jana kuasa,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu turut memudahkan pemindahan pengetahuan daripada jurutera, juruteknik dan operator berpengalaman kepada kakitangan lebih muda, sekali gus membantu mengekalkan kepakaran operasi penting dan mengukuhkan keupayaan tenaga kerja.

Penilaian teknikal di EMPP meliputi bidang operasi, penyelenggaraan mekanikal, penyelenggaraan elektrik serta kawalan dan instrumentasi bagi membantu mengenal pasti jurang kompetensi dan merangka pelan pembangunan bersasar.

 

Peranan CGNEI-EDRA penting dalam peralihan tenaga Malaysia

Menurut Goh, selain berperanan sebagai platform utama memajukan inisiatif syarikat iaitu ‘kepimpinan dalam penjanaan tenaga berasaskan gas,’ pusat itu turut menyokong keperluan yang semakin meningkat untuk penyelenggaraan sistem berkenaan ketika Malaysia memperluas infrastruktur tenaganya bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat dan menyokong peralihan tenaga negara.

Dilancarkan secara rasmi pada awal tahun ini, pusat itu merupakan pusat latihan kemahiran turbin gas khusus yang pertama di Malaysia dan hab antarabangsa utama bagi CGNEI untuk pembangunan bakat dan penyelidikan serta pembangunan teknikal dalam bidang penjanaan tenaga berasaskan gas.

Persidangan itu juga menjadi lebih signifikan memandangkan Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan ketara dalam penjanaan tenaga berasaskan gas, yang didorong oleh pengembangan sektor perindustrian, pembangunan pusat data dan keperluan untuk menggantikan aset penjanaan tenaga yang semakin usang.

Kerajaan menjangkakan kapasiti penjanaan tenaga berasaskan gas sebanyak kira-kira sembilan gigawatt (GW) dilaksanakan menjelang 2032, sekali gus menjadikan teknologi CCGT penting dalam menyokong keselamatan tenaga dan kestabilan grid.

Dalam hal ini, Edra menerusi pusat latihan di EMPP sedang memperkukuh pembangunan kemahiran teknikal dan pemindahan pengetahuan dalam kalangan tenaga kerjanya, dengan matlamat jangka panjang untuk menyumbang kepada pembangunan bakat merentasi industri penjanaan kuasa yang lebih luas di Malaysia.

 

Latihan bakat dalam sektor tenaga selaras dengan TVET di bawah rangka kerja MADANI

Keperluan yang semakin meningkat terhadap bakat khusus dalam sektor tenaga turut mencerminkan penekanan yang lebih meluas terhadap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah rangka kerja Malaysia MADANI.

Menurut kenyataan itu, rangka kerja itu bertujuan memperkukuh kemahiran tenaga kerja, meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan dan menyokong peralihan negara ke arah industri yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Mengulas lanjut mengenai latihan itu, Ketua Latihan dan Pembangunan CGNEI GTSTC Fauziah Hassan berkata penekanan diberikan untuk memastikan latihan itu dapat diterjemahkan kepada kecekapan yang boleh dibuktikan dan keupayaan melaksanakan tanggungjawab secara selamat serta berdikari selain memperkukuh kerjasama dengan pelbagai institusi dan universiti.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata pusat itu merancang untuk memperkukuh latihan berstruktur di tempat kerja, memperkenalkan pembelajaran berasaskan simulator dan senario secara berperingkat serta memperluas pembangunan teknikal dalam teknologi turbin gas termaju, pendigitalan, automasi, analisis data, tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga.

Sementara itu, Jurutera Operasi EMPP Muhd Afiq Azfar Mohd Asri yang berkongsi pengalamannya berkata latihan itu telah memperkukuh asas teknikal dan membantunya menangani isu operasi dengan lebih sistematik.

“Kerjasama berpasukan, komunikasi, peka terhadap situasi dan keupayaan membuat keputusan yang tepat pada masa yang sesuai juga sama penting dalam operasi loji jana kuasa,” katanya.

Walaupun tumpuan awal pusat itu untuk kakitangan Edra dan CGNEI, Goh berkata aspirasi jangka panjangnya adalah untuk memperluas kepakaran dan kemudahan yang ada kepada industri penjanaan kuasa Malaysia secara lebih meluas melalui kerjasama dengan penggiat industri dan institusi akademik.

"Memandangkan sektor tenaga Malaysia terus berkembang, pelaburan berterusan dalam latihan teknikal, pengalaman praktikal dan pemindahan pengetahuan adalah penting bagi membina tenaga kerja yang mampu menyokong keperluan penjanaan kuasa negara pada masa hadapan.

“CGNEI GTSTC tidak seharusnya sekadar menjadi monumen di kawasan loji jana kuasa, sebaliknya perlu berfungsi sebagai sebahagian daripada komponen aktif dalam keupayaan penjanaan tenaga di rantau ini,” kata Goh.

-- BERNAMA