Sektor Pembuatan Malaysia Kembali Catat Pertumbuhan Pada Oktober, PMI Pada 51.0
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Sektor pembuatan Malaysia mencatatkan peningkatan semula dari segi prestasi pada Oktober 2026, dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global meningkat kepada 51.0 pada bulan tersebut, ini menandakan pemulihan pertumbuhan didorong oleh peningkatan pesanan baharu dan jumlah pengeluaran.
Bacaan terkini ini lebih tinggi berbanding 49.9 dicatatkan pada September dan merupakan paras tertinggi sejak April 2026, dengan prestasi sektor tersebut menunjukkan peningkatan dalam empat daripada lima tempoh tinjauan lepas.
Ahli Ekonomi di S&P Global Market Intelligence, Maryam Baluch berkata data PMI terkini menunjukkan perkembangan positif bagi sektor pembuatan Malaysia pada permulaan suku terakhir tahun ini.
"Pesanan baharu kembali mencatatkan pertumbuhan, sebahagiannya disokong oleh permintaan lebih kukuh terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), seterusnya memacu peningkatan dalam jumlah pengeluaran," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pertumbuhan pesanan baharu merupakan antara terpantas dalam tempoh empat setengah tahun, sekali gus mengubah trend penyederhanaan singkat dicatatkan pada September, pengeluar mendapat manfaat daripada permintaan asas lebih baik, terutamanya daripada pelanggan sedia ada.
Baluch berkata syarikat terus menambah bilangan pekerja dan meningkatkan aktiviti perolehan buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, sebagai usaha untuk memperluas kapasiti operasi.
Bagaimanapun, tekanan rantaian bekalan masih berterusan, menyebabkan sesetengah syarikat terpaksa menggunakan stok barangan siap bagi memenuhi permintaan jualan, katanya.
Beliau berkata tekanan inflasi meningkat, dengan syarikat-syarikat mengenal pasti kos pengangkutan dan bahan yang lebih tinggi sebagai punca utama.
"Kebimbangan mengenai kos ini, ditambah pula dengan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi dan geopolitik, telah menjejaskan sentimen jangka pendek. Tahap keyakinan pengeluar berada pada paras terendah sejak April,” katanya.
Beliau berkata data PMI terkini mengetengahkan cabaran luaran sebagai ancaman utama terhadap daya tahan ekonomi ketika ini.
-- BERNAMA