IJM Construction Raih Anugerah Pembina Terbaik MCIEA 2026
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- IJM Construction Sdn Bhd dinobatkan sebagai Pembina Terbaik (Gred G7) pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaannya menyiapkan pelbagai projek bangunan dan infrastruktur yang kompleks.
IJM Corporation Bhd dalam satu kenyataan berkata anugerah yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu membuktikan keupayaan kejuruteraan syarikat, komitmen terhadap aspek keselamatan serta kebolehannya mengendalikan projek berteknologi tinggi.
“Pengiktirafan ini amat bermakna kepada kami di IJM Construction. Kejayaan ini mencerminkan ketabahan dan dedikasi seluruh warga kerja kami, daripada pelbagai bidang kejuruteraan hinggalah kepada pasukan di tapak projek.
“Anugerah terbaharu ini turut mengukuhkan rekod pencapaian syarikat pada MCIEA, selepas meraih gelaran Pembina Terbaik pada 2001, 2002 dan 2015, serta gelaran Kontraktor Terbaik pada 2009 dan 2012,” menurut kenyataan itu.
Anugerah yang disampaikan pada majlis di The Majestic Hotel Kuala Lumpur pada 29 Oktober itu turut menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus menetapkan penanda aras baharu dalam kepimpinan korporat, keupayaan teknikal dan pelaksanaan projek secara inovatif, menurut kenyataan itu.
Antara projek utama yang diketengahkan dalam penyertaan anugerah berkenaan ialah TRX Residences dan Menara UOB 2 di Kuala Lumpur, serta Menara HASIL di Pulau Pinang.
Pembinaan TRX Residences merekodkan lebih tujuh juta jam kerja selamat tanpa sebarang kecederaan yang mengakibatkan kehilangan masa bekerja, selain menyasarkan pensijilan LEED Gold dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Gold.
Sementara itu, Menara HASIL Pulau Pinang disiapkan hampir dua bulan lebih awal daripada jadual dengan memperoleh skor QLASSIC sebanyak 86 peratus.
Selaras dengan perkembangan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), IJM Construction turut memperluas portfolio perniagaannya ke sektor pusat data, kemudahan pembuatan semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
Pada Ogos 2026, syarikat itu memperoleh projek bernilai RM909.5 juta dalam sektor semikonduktor dan teknologi perubatan, diikuti kontrak bernilai RM1.23 bilion bagi pembinaan kemudahan pembuatan semikonduktor di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) pada Oktober.
Menurut kenyataan itu, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi fasa pertumbuhan seterusnya dengan memanfaatkan keupayaan kejuruteraan termaju serta kaedah pembinaan digital.
“Seiring perkembangan industri pembinaan, IJM Construction kekal fokus untuk memperkukuh keupayaan kejuruteraan, menerapkan inovasi serta meningkatkan piawaian keselamatan, kualiti dan pelaksanaan projek,” katanya.
Susulan kejayaan memperoleh kontrak baharu, nilai perolehan kontrak yang belum dilaksanakan IJM Construction kini berjumlah kira-kira RM10.6 bilion, menyediakan aliran kerja yang kukuh merangkumi pembinaan bangunan, kemudahan industri termaju dan kejuruteraan awam.
-- BERNAMA