IOIPG Sasar Penyenaraian Sekunder Di Bursa Singapura Pada Awal 2027
PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) menyasarkan penyenaraian sekunder di Bursa Singapura (SGX) pada awal 2027, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Lee Yeow Seng.
Lee berkata kumpulan itu telah memperluaskan kehadirannya di Singapura menerusi beberapa projek yang lebih kecil dan usaha sama dengan rakan kongsi tempatan, sekali gus membolehkannya memahami dengan lebih mendalam pasaran di negara tersebut.
“Memandangkan kami telah mempelajari selok-belok perniagaan ini dan semakin memahami mengenai pasaran, kami berasa yakin untuk memulakan langkah sendiri,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersempena pelancaran prospektus Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) IOI Properties Group di sini hari ini.
Mengenai rancangan untuk menubuhkan dana amanah swasta di Singapura, Lee berkata kumpulan itu telah mengenal pasti dua aset awal: South Beach Tower iaitu sebuah menara pejabat dan IOI Central Boulevard Towers.
Beliau berkata kedua-dua hartanah tersebut kini menikmati kadar penghunian yang tinggi dengan South Beach Tower merekodkan kadar penghunian antara 98 dan 100 peratus.
“Aset itu menjana pulangan antara empat dan lima peratus, manakala dana amanah swasta yang dicadangkan itu dijangka menawarkan pulangan sekurang-kurangnya 3.5 peratus kepada pelabur, selaras dengan kadar pasaran bagi ruang pejabat Gred A utama di Singapura,” katanya.
Lee berkata kumpulan itu turut menjangkakan pelabur dalam dana tersebut akan menikmati tambah nilai modal hampir 10 peratus dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Mengenai potensi pemerolehan oleh kumpulan itu ke atas kompleks bangunan bersejarah CHIJMES dan hotel Capitol Kempinski di Singapura, beliau berkata kedua-dua aset kini tertakluk kepada perjanjian eksklusiviti, dengan perinciannya kekal sulit.
“Apabila tiba masa yang sesuai, kami akan membuat pengumuman yang sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA