BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | 

HDC Pacu Kerjasama Perdagangan Halal Malaysia-Palestin

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan bekerjasama dengan persatuan perniagaan tempatan dan badan piawaian Palestin bagi memperkukuh hubungan institusi serta memudah cara jalinan perniagaan antara Malaysia dengan Palestin.

Dalam kenyataan hari ini, HDC memaklumkan kerjasama itu akan melibatkan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Institusi Piawaian Palestin (PSI) serta agensi kerajaan berkaitan.

“Penglibatan lanjut akan memberi tumpuan kepada syarat kemasukan pasaran, potensi pembeli dan pengedar serta platform bersesuaian bagi tujuan pemadanan perniagaan, khususnya menerusi Platform Bersepadu Halal (HIP) milik HDC,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Pengerusi HDC Mohd Afandi Salleh berkata perdagangan boleh melengkapi bantuan kemanusiaan dengan membantu perusahaan Palestin meneruskan operasi dan mengekalkan mata pencarian.

“Fokus kami adalah untuk menjalin kerjasama yang mampu mewujudkan peluang perniagaan secara nyata, di samping memastikan pematuhan terhadap keperluan halal dan peraturan Malaysia,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini mengiktiraf PSI sebagai Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang Diiktiraf.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mohd Afandi berkata pengiktirafan itu dijangka memperkukuh kerjasama perdagangan produk dan perkhidmatan halal serta membantu pengeluar Palestin memahami keperluan pasaran halal Malaysia, menjalin hubungan dengan pembeli dan pengedar serta membuat persediaan untuk menembusi pasaran negara ini.

Pengiktirafan itu meliputi produk yang layak dalam beberapa kategori, termasuk makanan dan minuman, bahan mentah, kosmetik, produk penjagaan diri serta farmaseutikal, tertakluk kepada keperluan yang berkuat kuasa.

Menurut HDC, eksport halal Malaysia mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Produk makanan dan minuman menyumbang RM36.86 bilion atau 53.8 peratus daripada jumlah eksport itu, diikuti bahan ramuan halal sebanyak RM21.39 bilion atau 31.2 peratus.

HDC memaklumkan bahawa perkembangan sektor makanan dan minuman serta bahan ramuan halal itu menyediakan asas untuk meneroka kerjasama dalam aspek sumber produk, pembekalan bahan ramuan dan jalinan rantaian bekalan.

-- BERNAMA