BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | 

Kerajaan Lulus Lebih RM250 Juta Perkukuh Pembangunan ECRL Di Kelantan - MOF

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta bagi memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan, termasuk pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu dan kerja-kerja awalan bagi cadangan pemanjangan jajaran ke Rantau Panjang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala lebih RM200 juta lagi disediakan untuk kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

“Kerja-kerja awalan itu merangkumi reka bentuk awal, pengukuran dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan pada fasa seterusnya,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut MOF, pelaburan itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh infrastruktur pengangkutan, malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing.

Pembangunan berkenaan dijangka merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa pembangunan negara perlu dilaksanakan secara terangkum dan seimbang supaya manfaat kemajuan dapat dirasai rakyat di seluruh negara, termasuk di Kelantan, dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA