PKNPk, GVL Teroka Pembangunan Pusat Data AI Berkapasiti Lebih 100 MW Di Perak
IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Global Vision Lab Sdn. Bhd (GVL) dalam proses membangunkan pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar dengan kuasa berkapasiti melebihi 100 megawatt (MW) di Perak.
Ketua Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) serta aplikasi berasaskan pemprosesan grafik (GPU) di Malaysia serta rantau ini.
“Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dan surat persetujuan bagi membolehkan pertukaran maklumat serta penelitian awal terhadap aspek teknikal, infrastruktur dan potensi komersial projek.
“Cadangan ini berpotensi memperkukuh peranan Perak dalam ekosistem digital dengan menyediakan asas bagi pembangunan infrastruktur yang menyokong aplikasi AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan asas pertumbuhan ekonomi menerusi aktiviti teknologi bernilai tinggi.
Pada masa sama, projek berkenaan berpotensi meneroka pasaran lebih luas, termasuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengukuhan rantaian bekalan teknologi tempatan serta penggunaan AI dalam sektor seperti pembuatan dan logistik.
Mengulas peranan kerjasama kedua-dua entiti, Redza berkata PKNPk akan menyelaras penglibatan pihak berkepentingan di peringkat negeri manakala GVL menerajui perancangan pembangunan serta penyelarasan penilaian teknikal dan komersial.
“Penelitian bersama ini akan membantu menentukan struktur pelaburan dan pendekatan pelaksanaan yang sesuai, tertakluk kepada hasil penilaian dan persetujuan pihak berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GVL Y.L. Lee berkata peningkatan permintaan terhadap AI generatif dan HPC menjadikan pembinaan infrastruktur digital yang kukuh serta fleksibel menjadi semakin penting.
“Kerjasama dengan PKNPk dan rakan projek membolehkan kami menilai keperluan yang perlu dipenuhi bagi memastikan cadangan pusat data ini sesuai dengan keperluan pasaran serantau,” katanya
Beliau berkata jika aspek penilaian mengesahkan kebolehlaksanaan projek, pembangunan itu berpotensi menarik pelaburan teknologi serta membuka ruang kepada syarikat tempatan membekalkan barangan dan perkhidmatan dalam rantaian bekalan pusat data.
Selain peluang pekerjaan, projek ini berpotensi menyumbang kepada pembangunan kemahiran dalam operasi pusat data, kejuruteraan dan teknologi digital.
“Skala manfaat itu bergantung pada skop akhir projek serta keperluan tenaga kerja,” katanya.
-- BERNAMA