Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, mengatasi prestasi lemah di Bursa Komoditi Amerika Syarikat (COMEX) meskipun logam berharga itu masih berdepan tekanan jualan teknikal.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aktiviti jualan teknikal terus mempengaruhi pasaran susulan harga emas merosot di bawah paras sokongan utama sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Trend ini mungkin berterusan sehingga harga emas mencatatkan pemulihan meyakinkan melebihi US$4,000 setiap auns troy. Justeru itu, pedagang dijangka lebih cenderung mengambil peluang menjual ketika harga meningkat berbanding mengejar kenaikan selanjutnya.
"Meskipun prospek jangka panjang emas kekal disokong faktor asas, pergerakan pasaran ketika ini lebih dipengaruhi kelemahan teknikal berbanding faktor makroekonomi konvensional,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta baharu November 2026 meningkat kepada US$3,916.20 setiap auns troy daripada US$3,911.90 ketika ditutup pada Isnin, manakala Disember 2026 naik kepada US$3,930.70 daripada US$3,926.40.
Kontrak Januari 2027, Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 turut meningkat kepada US$3,931.80 setiap auns troy daripada US$3,927.50 pada penutupan sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 99 lot berbanding 13 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 158 kontrak daripada 97 kontrak.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$3,955.25 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association's (LBMA) pada 2 Nov, 2026.
-- BERNAMA