Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Rendah Seiring Dengan Pasaran Serantau
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini, seiring dengan penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran terjejas berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat, kebimbangan terhadap hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta ketidaktentuan mengenai hala tuju dasar AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh harga minyak mentah yang kekal stabil dan ringgit yang susut sedikit berbanding dolar AS.
“Sentimen pasaran turut mendapat sokongan daripada aktiviti pembuatan global dan AS yang berdaya tahan, di samping kebimbangan terhadap fenomena El Niño yang kuat, berupaya menyebabkan berlakunya gangguan bekalan akibat faktor cuaca,” katanya kepada Bernama.
Menurut peniaga itu, AS dilaporkan melancarkan satu lagi serangan ke atas Pulau Qeshm di Iran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap meningkatnya ketegangan di Asia Barat walaupun terdapat harapan baharu bagi perjanjian damai, selain menyebabkan harga minyak meningkat sedikit.
Beliau turut menyatakan pengeluar kereta utama menggesa penggubal undang-undang AS supaya mengenakan larangan kekal terhadap import kenderaan dari China, dengan alasan kebimbangan mengenai keselamatan negara dan persaingan dengan pengeluar tempatan.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 9.5 sen kepada 994.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut tiga sen kepada 783.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA