BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | 

Kerajaan Bayar Balik RM20.27 Bilion Lebihan Cukai Pendapatan Setakat 31 Okt 2026 -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM20.271 bilion bayaran balik lebihan cukai pendapatan yang melibatkan 3.65 juta kes pembayar cukai telah dilunaskan sehingga 31 Oktober 2026.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.84 bilion dibayar balik kepada 3.4 juta pembayar cukai individu, manakala RM13.036 bilion kepada 206,234 pembayar cukai syarikat, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam melaksanakan pembayaran balik, kerajaan mengutamakan bayaran balik lebihan cukai kepada individu dan juga syarikat PMKS,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Amir Hamzah berkata selaras dengan pendekatan itu, bilangan pembayar cukai dengan lebihan cukai telah dikurangkan hampir separuh kepada sekitar 550,000 pembayar cukai pada 31 Okt 2026 berbanding lebih satu juta pada 31 Dis 2025.

"Kerajaan juga komited untuk terus memastikan tunggakan bayaran balik dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan segera sebagai usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai dan memastikan hak pembayar cukai dilindungi, selaras dengan agenda reformasi fiskal Kerajaan MADANI," katanya ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Bachok, Klang dan Pendang.

Amir Hamzah turut berkata kerajaan komited untuk menangani tunggakan bayaran balik lebihan cukai pendapatan bagi memastikan pembayaran balik dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan segera.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Seramai 27 orang telah mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata pandangan dan teguran yang dikemukakan membantu kerajaan meneliti bagaimana setiap peruntukan diurus dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

Secara keseluruhan, peruntukan bekalan mengurus 2027 bagi Maksud B.10, B.11 dan B.12 meningkat kepada RM68.16 bilion berbanding peruntukan dipinda tahun ini berjumlah RM61.5 bilion.

Beliau berkata peningkatan itu menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk meringankan kos sara hidup dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

-- BERNAMA