Anak Syarikat ES Sunlogy Raih Kontrak Bernilai RM25.07 Juta
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- ES Sunlogy Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Savelite Engineering Sdn Bhd (Savelite), meraih dua surat anugerah (LoA) daripada Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd untuk kontrak kerja-kerja kecil bernilai RM25.07 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu memaklumkan Savelite memperoleh kontrak untuk pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja elektrik dan voltan rendah tambahan (ELV) bagi pembinaan pangsapuri perkhidmatan 52 tingkat di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
“Kontrak bernilai RM19.87 juta bermula pada 1 Julai, 2026 dan dijadualkan siap pada 31 Dis, 2029, tertakluk kepada lanjutan masa mengikut peruntukan dalam LoA,” menurutnya.
ES Sunlogy memaklumkan kontrak satu lagi melibatkan kerja-kerja infrastruktur untuk lima jambatan merentasi terusan di Pulau Andaman, Pulau Pinang yang bernilai RM5.20 juta.
“Kontrak itu bermula pada 24 Nov, 2025 dan dijadualkan siap pada 23 Ogos, 2028 atau dalam tempoh lanjutan masa yang diperuntukkan pada LoA,” tambah ES Sunlogy.
Menurut syarikat itu, kontrak yang diraih oleh Savelite dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, perolehan sesaham dan nisbah penggearan sepanjang tempoh kontrak.
LoA berkenaan tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pegangan saham utama dalam syarikat.
“Selain itu, kerja-kerja subkontrak berkenaan disifatkan sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, selaku pihak yang terlibat dalam urus niaga, merupakan sebuah syarikat dalam kumpulan Kerjaya Prospek Group Bhd.
“ES Sunlogy telah mendapat mandat daripada pemegang saham untuk urus niaga pihak berkaitan yang dimeterai atau yang akan dimeterai oleh kumpulan itu dengan Kerjaya Group, anak-anak syarikat dan usaha sama kumpulan berkenaan pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan pada 21 Okt, 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA