Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ketika Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih sektor perbankan dan telekomunikasi walaupun pasaran secara menyeluruh bertambah baik susulan minat belian baharu terhadap saham teknologi bermodal kecil.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan pasaran saham serantau mencatatkan kenaikan, dengan Hong Kong dan China mengalami pemulihan ketika pelabur menilai implikasi keadaan politik di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan kerajaan terbahagi antara parti politik berbeza.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 5.29 mata atau 0.32 peratus kepada 1,616.56 daripada 1,621.85 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 1.46 mata kepada 1,623.31, iaitu paras harian tertinggi dan kemudiannya mencecah paras terendah 1,614.34 semasa sesi pertengahan petang.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 645 berbanding 441 manakala 520 kaunter tidak berubah, 1,155 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.81 bilion unit bernilai RM2.57 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM2.64 bilion semalam.
Di peringkat global, Thong berkata penurunan hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS yang lebih lemah memberikan kelegaan kepada sentimen pasaran manakala minyak mentah Brent diniagakan sekitar US$103 setong susulan harapan baharu terhadap kemajuan usaha diplomatik di Asia Barat walaupun ketidaktentuan geopolitik terus meningkat.
"Bagaimanapun, di peringkat domestik, kami kekal optimis namun berhati-hati memandangkan pembetulan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian saham mewah terpilih semakin menarik sekali gus berpotensi menggalakkan aktiviti pembelian saham pada harga rendah.
"Apa yang lebih penting lagi, minat belian baharu terhadap saham teknologi bermodal kecil menunjukkan pelabur masih bersedia mengambil kedudukan terpilih dalam pasaran walaupun berdepan ketidaktentuan semasa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun perkembangan faktor luaran boleh mencetuskan ketidaktentuan pasaran sekali-sekala, pembelian terpilih saham mewah yang mempunyai asas kukuh dijangka menyokong pemulihan pasaran secara beransur-ansur.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 14 sen kepada RM9.90, Public Bank menurun empat sen kepada RM4.77, Tenaga Nasional menyusut dua sen kepada RM13.14, CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM6.91 manakala IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM7.78.
Dalam dagangan aktif, Aizo menurun setengah sen kepada 6.5 sen, GIIB menyusut lapan sen kepada 41.5 sen, Inari Amertron meningkat lapan sen kepada RM2.46 manakala MAG dan Zetriz AI tidak berubah masing-masing pada 15.5 sen dan enam sen.
Kaunter paling untung ialah MPI yang meningkat RM1.12 kepada RM40.62, Vitrox naik 48 sen kepada RM10.90, UWC menokok 32 sen kepada RM7.20, Pentamaster melonjak 31 sen kepada RM5.58 dan Kesm Industries meningkat 21 sen kepada RM4.65.
Antara saham paling rugi, Fraser & Neave susut 24 sen kepada RM20.96, Nestle menyusut RM2.38 kepada RM93.50, Mega Fortris rendah 33 sen kepada RM2.54, Sarawak Oil Palms menurun 14 sen kepada RM5.39 dan Mulpha International berkurangan 12 sen kepada RM2.55.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.66 mata kepada 12,077.98 manakala Indeks FBM Top 100 menokok 5.23 mata kepada 11,885.08.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 192.35 mata kepada 17,511.25, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 59.52 mata kepada 12,104.43 dan Indeks FBM ACE melonjak 101.74 mata kepada 5,420.78.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.63 mata kepada 178.21, Indeks Tenaga naik 0.92 mata kepada 827.92 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 130.60 mata kepada 18,586.31 dan Indeks Perladangan susut 7.77 mata kepada 8,761.88.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 1.47 bilion unit bernilai RM2.41 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran naik kepada 899.12 juta unit bernilai RM104.16 juta daripada 790.10 juta unit bernilai RM91.37 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 426.08 juta unit bernilai RM165.95 juta daripada 364.33 juta unit bernilai RM136.10 juta pada Selasa.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 194.94 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (358.68 juta), pembinaan (142.72 juta), teknologi (283.59 juta), perkhidmatan kewangan (77.56 juta), hartanah (100.48 juta), perladangan (24.54 juta), amanah pelaburan hartanah (22.89 juta), dana tertutup (353,300), tenaga (76.86 juta), penjagaan kesihatan (93.21 juta), telekomunikasi dan media (40.82 juta), pengangkutan dan logistik (42.55 juta), utiliti (33.00 juta) serta amanah perniagaan (300).
-- BERNAMA