BERITA TERKINI   Harga RON97 turun 20 sen seliter, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Nov - MoF | Kerajaan luluskan peruntukan lebih RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan ECRL di Kelantan - MOF | Kanak-kanak lelaki enam tahun maut terjatuh dalam kolam takungan di Kulai, Johor - Bomba | Bayaran STR bagi pemohon baharu dan rayuan diluluskan dibuat mulai 16 Nov - MOF | Bayaran kepada penerima sedia ada STR dibuat secara berperingkat mulai 4 hingga 6 November 2026 -- MoF | 

Kerajaan Teliti Pelaksanaan Mandat SAF Satu Peratus Di KLIA Mulai Januari 2027 - Noraini

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan mandat adunan bahan api penerbangan lestari (SAF) sebanyak satu peratus pada penerbangan antarabangsa yang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Januari 2027.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, langkah itu mengambil kira perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Menurutnya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi merancang pelaksanaan mandat berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang sedang dihadapi oleh industri penerbangan dari segi peningkatan kos operasi dan tekanan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.

Noraini berkata Malaysia telah memasuki fasa pengeluaran komersial melalui operasi loji EcoCeres di Johor sejak Oktober 2025 yang mempunyai kapasiti berlesen sebanyak 420,000 tan setahun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, jelasnya, loji biopenapisan Petronas di Pengerang, Johor dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028 dengan kapasiti sebanyak 650,000 tan setahun.

“Kedua-dua projek ini dijangka menyediakan kapasiti melebihi satu juta tan setahun menjelang 2028. Jadinya secara tak langsung ia akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran SAF serantau,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu kerajaan turut memperkukuh infrastruktur biodiesel negara bagi menyokong sasaran meningkatkan kadar adunan kepada B30 menjelang 2030.

Katanya, peruntukan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah diluluskan bagi menaik taraf kemudahan pengadunan di empat depo petroleum strategik iaitu Sandakan, Tawau dan Sepanggar di Sabah serta Bintulu, Sarawak.

Bagi Rolling Plan Kedua RMK13 pula, kerajaan meluluskan peruntukan untuk menaik taraf kemudahan pengadunan di dua lagi depo di Lembah Klang.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM1.37 bilion bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit Persendirian di bawah RMK13 bagi menyokong usaha meningkatkan produktiviti dan pengeluaran industri sawit negara.

“Berdasarkan Belanjawan 2027 untuk program penanaman semula sawit, kementerian menjangkakan seramai 1,500 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 5,900 hektar akan menerima manfaat daripada program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0.

“Manakala, seramai 740 orang pekebun kecil sawit persendirian dengan keluasan sawit 11,110 hektar dijangka mendapat manfaat daripada program Tanam Semula Sawit (PTSS),” katanya.

Beliau memaklumkan Agrobank merupakan antara institusi kewangan yang menyediakan kemudahan pembiayaan berkenaan manakala Bank Rakyat turut bersetuju menyertai program terbaharu itu.

“KPK akan membantu untuk memudahcara permohonan tersebut disebabkan kita memang menyasarkan sebanyak empat peratus penanaman semula sawit dan sekarang, tiga peratus lebih dan kita hendak supaya sasaran untuk tanam semula sawit ini dapat dicapai,” katanya. 

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM485,686,300 yang diperuntukkan kepada KPK dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 16 ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA