Niaga Hadapan Emas Teruskan Kenaikan Sejajar Dengan Prestasi Kukuh COMEX
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan untuk ditutup tinggi pada Rabu, menjejaki prestasi lebih kukuh di Bursa Komoditi (COMEX) Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata hala tuju emas dalam tempoh terdekat masih tidak menentu, dengan dolar AS yang menyusut dan hasil Perbendaharaan AS yang lebih rendah masih belum berjaya menarik minat belian yang meyakinkan.
“Saya menjangkakan peniaga memerlukan beberapa hari untuk meneliti sepenuhnya implikasi kewangan dan ekonomi susulan keputusan Pilihan Raya Separuh Penggal AS.
“Buat masa ini, landskap politik telah berubah dengan ketara, namun sama ada perkembangan itu akan membawa kepada pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih akomodatif serta trend kelemahan dolar AS yang berterusan masih belum dapat dipastikan," katanya.
Sehingga keadaan itu menjadi lebih jelas, harga emas dijangka terus sukar untuk menentukan hala tuju yang meyakinkan, katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta baharu November 2026 meningkat kepada US$4,058.90 setiap auns troy daripada US$3,916.20 ketika ditutup pada Selasa, manakala Disember 2026 ,menokok kepada US$4,074.10 setiap auns troy daripada US$3,930.70 sebelumnya.
Kontrak Januari 2027, Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 masing-masing meningkat kepada US$4,075.20 setiap auns troy daripada US$3,931.80 pada penutupan sebelumnya.
Jumlah dagangan bertambah kepada 211 lot daripada 99 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 268 kontrak daripada 158 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada US$3,936.65 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 3 Nov, 2026.
-- BERNAMA