Niaga Hadapan MSM Terus Merosot Dipengaruhi Kebimbangan Paras Inventori
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap paras inventori Malaysia yang mencecah paras tertinggi dalam rekod, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.
Peniaga Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran dijangka kekal berhati-hati, dengan pedagang terus memantau rapat paras inventori serta data penawaran dan permintaan yang akan datang.
"Kami melihat paras sokongan segera pada RM4,450 satu tan dan paras rintangan pada RM4,600 satu tan, dengan sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati menjelang pengeluaran laporan penawaran dan permintaan minyak sawit Oktober oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Nov," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 dan Disember 2026 masing-masing susut RM50 kepada RM4,300 dan RM4,407 satu tan, manakala Januari 2027 turun RM55 kepada RM4,496 satu tan.
Kontrak Februari 2027 merosot RM61 kepada RM4,576 satu tan, Mac 2027 berkurangan RM66 kepada RM4,644 satu tan dan April 2027 menyusut RM64 kepada RM4,696 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 137,168 lot daripada 88,707 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 334,908 kontrak daripada 337,745 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi November Selatan susut RM60 kepada RM4,310 satu tan.
-- BERNAMA