MIHAS 2026 Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Perdagangan Halal Global
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan halal global dengan menghimpunkan perniagaan dan pemegang taruh industri bagi menjalin hubungan bermakna serta menyokong pertumbuhan berterusan industri itu.
Menurut laporan Kajian Kes Kejayaan MIHAS 2026, acara itu menyediakan platform kepada syarikat untuk membina hubungan perniagaan selain meneroka peluang.
Dalam pada itu, impak jangka panjangnya juga bergantung pada sejauh mana jalinan kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada aktiviti eksport, pelaburan, pengeluaran dan pewujudan peluang pekerjaan.
Laporan itu menyatakan impak ekonomi MIHAS 2026 boleh dilihat melalui tiga peringkat iaitu impak komersial segera menerusi nilai jualan sebanyak RM6.78 bilion dan impak pembangunan perdagangan melalui hubungan dengan pembeli, padanan perniagaan, maklumat pasaran, sokongan pensijilan dan piawaian serta persediaan eksport.
Selain itu turut terdapat kesan pengganda jangka panjang melalui peningkatan pengeluaran, peluang pekerjaan, aktiviti logistik, perkhidmatan, pelaburan serta penembusan pasaran baharu.
“Cabaran utama dari segi pengukuran masih tertumpu pada usaha menentukan jumlah peluang yang dijana menerusi MIHAS yang akhirnya berjaya direalisasikan sebagai pesanan yang disahkan, eksport, penembusan pasaran baharu, pelaburan, pengeluaran dan peluang pekerjaan.
“Pemantauan berterusan selepas acara itu akan memberikan ukuran yang lebih jelas mengenai sumbangan ekonomi jangka panjang MIHAS,” menurut kenyataan itu.
Laporan itu turut menyatakan MIHAS menyediakan titik permulaan bagi jalinan kerjasama berterusan selepas acara fizikal berakhir dengan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agentik dan Platform Perdagangan Digital MADANI.
Penggunaan teknologi berkenaan berpotensi menyokong komunikasi serta tindakan susulan selepas peserta kembali ke pasaran masing-masing.
“Apabila hubungan (digital) ini berkembang, aktiviti perniagaan boleh meluas ke pelbagai segmen ekonomi halal sekali gus menghubungkan syarikat dengan pengeluar, penyedia perkhidmatan logistik, organisasi pensijilan, syarikat teknologi, institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan lain,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan menyatakan impak MIHAS 2026 berterusan melangkaui tempoh pameran selama empat hari memandangkan ia mewujudkan hubungan perniagaan, memulakan perbincangan dan mengusahakan kerjasama yang menyumbang kepada pembangunan berterusan rangkaian perdagangan halal global.
Menurut laporan itu, pelabur, pembeli dan pempamer MIHAS 2026 menyertai acara berkenaan dengan objektif yang berbeza, namun pengalaman mereka menyerlahkan satu nilai bersama iaitu keupayaan MIHAS menghubungkan syarikat, memudah cara perbincangan perdagangan dan memperkukuh hubungan rentas sempadan.
Sementara itu, Ketua Pembangunan dan Pengedaran Perniagaan Halal Serantau Maybank Islamic Shariza Abdul Rasheed berkata sebagai seorang daripada pelabur, MIHAS menyediakan platform yang luas untuk menghubungkan syarikat dan pemegang taruh dalam industri halal global.
“Seiring dengan usaha Maybank Islamic beralih daripada perbankan tradisional kepada pendekatan ‘melangkaui perbankan’ yang lebih menyeluruh, institusi itu melihat MIHAS sebagai peluang untuk memperkenalkan rangkaian penawaran perkhidmatannya yang lebih luas serta memperkukuh kehadirannya dalam ekosistem perniagaan halal,” katanya.
MIHAS 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 26 Sept, 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), merekodkan jumlah jualan sebanyak RM6.78 bilion, meningkat 12 peratus berbanding RM6.05 bilion pada 2025.
Pencapaian itu melebihi sasaran RM5 bilion yang ditetapkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebanyak RM1.78 bilion.
MIHAS turut mencatatkan kehadiran seramai 69,104 pengunjung dari 93 negara manakala pempamer dan pembeli menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) berasal dari 58 negara, sekali gus mencerminkan jangkauan antarabangsa acara itu yang meluas.
-- BERNAMA