PMKS Perlu Tingkatkan Skala Perniagaan Dan Produktiviti, Tawarkan Gaji Tinggi - Akmal
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu meningkatkan skala perniagaan dan produktiviti bagi menjana pendapatan dan mewujudkan permintaan terhadap pekerja lebih berkemahiran dan menawarkan gaji lebih lumayan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata tumpuan kini perlu beralih daripada kuantiti kepada kualiti pembiayaan yang disalurkan kepada PMKS bagi memastikan syarikat berupaya berkembang dan kekal berdaya saing.
“Pembentangan daripada Bank Dunia pada hari ini menjurus ke arah keperluan supaya ia bukan lagi soal kuantiti, tetapi perlu melihat kepada kualiti pendanaan yang kita salurkan.
“Namun, isu sebenar adalah berkaitan kualiti dana yang disalurkan, iaitu bagaimana memastikan syarikat tempatan kekal berdaya saing di peringkat global, terutama untuk meningkatkan produktiviti bagi membolehkan mereka menawarkan gaji yang lebih tinggi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran laporan “Malaysia Economic Monitor October 2026 -- From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs” di sini hari ini.
-- BERNAMA