Kesediaan Grid Nasional Penting, Jamin Kestabilan Ekonomi Malaysia - Ketua Pegawai Eksekutif TNB
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi penekanan utama kepada usaha memperkukuh grid nasional kerana menyedari bahawa kesediaan grid penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia serta memenuhi matlamat tenaga dan perindustrian negara.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif TNB, Datuk Seri Ir.Shamsul Ahmad berkata aspirasi tenaga dan perindustrian Malaysia hanya boleh berkembang seiring dengan kepantasan pembangunan infrastruktur grid yang menyokongnya.
Justeru, bagi mencapai matlamat ini beliau berkata TNB berpegang teguh kepada strategi "grid-first" (iaitu mengutamakan grid) yang melibatkan perancangan dan pengembangan rangkaian nasional lebih awal daripada permintaan dan bukan mengambil langkah hanya selepas permintaan wujud.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada acara “Clean Energy Transition Asia (CETA) 2026”, platform utama Asia bagi pelaburan tenaga bersih, inovasi, dan perkongsian yang menarik penyertaan lebih daripada 200 pempamer.
Disokong oleh perbelanjaan modal rangkaian berjumlah kira-kira RM43 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) antara 2025 dan 2027, Shamsul berkata TNB sedang memperkukuh grid nasional bagi menjamin kebolehpercayaan dan keterjaminan bekalan elektrik kepada rakyat, di samping bersiap sedia untuk memenuhi keperluan tenaga negara yang semakin meningkat.
“Grid yang lebih kukuh dan berdaya tahan juga membolehkan TNB menyokong peluang ekonomi baharu, termasuk dalam pendigitalan dan pertumbuhan perindustrian, menerusi inisiatif seperti ‘Green Lane Pathway’,” katanya.
Inisiatif ini mempercepat sambungan grid bagi pusat data yang layak, tanpa menjejaskan keterjaminan bekalan atau piawaian kejuruteraan.
Selain itu, pelaburan ini turut mengukuhkan lagi peranan negara dalam Grid Tenaga ASEAN, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan tenaga, kesalinghubungan, dan kerjasama serantau yang lebih mantap, kata Shamsul.
Beliau berkata kesediaan grid juga akan membantu mewujudkan kestabilan ekonomi.
“Dengan melabur lebih awal daripada keperluan semasa, TNB memastikan infrastruktur tenaga kita menjadi pemangkin aktif bagi pelaburan baharu serta kemajuan negara bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
-- BERNAMA