Pasaran Getah Ditutup Tinggi
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu, seiring dengan kenaikan pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras global, kata peniaga.
Beliau berkata ringgit yang rendah berbanding dolar AS turut memberikan sokongan tambahan.
Setakat ini, harga minyak mentah meningkat 0.39 peratus kepada US$91.85 setong.
Katanya sentimen pasaran turut disokong oleh daya tahan perdagangan luar China yang berterusan dan aktiviti eksport automotif negara itu, mengukuhkan jangkaan terhadap permintaan yang berterusan untuk tayar dan produk berasaskan getah lain.
“Pengeluaran getah kini hampir kepada penghujung musim pengeluarannya manakala peralihan bahan mentah kepada pengeluaran lateks pekat dijangka mengehadkan pengeluaran getah lateks penuh, memberikan sokongan tambahan kepada harga getah asli.
“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kenyataan yang cenderung kepada kenaikan kadar faedah daripada pegawai kanan Rizab Persekutuan (Fed), meningkatkan jangkaan bahawa AS akan menaikkan kadar faedah pada bulan depan,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 34.5 sen kepada 1,004.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat lima sen kepada 778.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA