Prospek Ekonomi Malaysia Kekal Positif Pada Separuh Kedua 2026 – Bank Dunia
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Prospek ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2026 dijangka kekal positif dengan permintaan domestik terus disokong oleh peningkatan guna tenaga, sokongan fiskal bersasar dan aktiviti pelaburan yang berterusan, menurut Kumpulan Bank Dunia.
Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei Dr Zafer Mustafaoğlu berkata prospek jangka pendek kekal tidak menentu berikutan konflik geopolitik, ketegangan perdagangan dan permintaan global yang lebih lemah yang semuanya memberi tekanan kepada perdagangan serta keyakinan.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia kekal terdedah kepada kesan perkembangan luaran, khususnya menerusi saluran perdagangan dan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor edisi Oktober 2026 bertajuk “Daripada Kuantiti kepada Kualiti: Pembiayaan PKS Produktif Malaysia” di sini hari ini.
Zafer memberitahu ketika Malaysia memasuki tempoh ini iaitu dengan kedudukan ekonomi yang kukuh, cabaran berkenaan juga menuntut tindakan tegas.
Hal ini termasuk meneruskan usaha membina semula ruang fiskal bagi memperkukuh daya tahan terhadap kejutan pada masa hadapan, memastikan dasar monetari dan kehematan makro diselaraskan sewajarnya serta terus memberi tumpuan kepada asas pertumbuhan jangka panjang meskipun berdepan tekanan semasa.
“Mempergiat perubahan struktur bukanlah satu pilihan sebaliknya merupakan keperluan penting bagi memastikan pertumbuhan mampan dan pewujudan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Zafer memaklumkan Malaysia berada di ambang mencapai status negara berpendapatan tinggi, namun cabaran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah untuk beralih kepada tahap produktiviti yang lebih tinggi, penggunaan teknologi yang lebih meluas, penghasilan harta intelek dan inovasi.
Bagi mencapai matlamat itu, pembiayaan perlu berkembang daripada pembiayaan modal kerja asas dan pelaburan kepada modal pengembangan berisiko tinggi bagi membolehkan PKS menembusi pasaran global, melaksanakan perubahan automasi, pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta beralih kepada amalan hijau.
“Justeru, persoalannya bukan sekadar sama ada PKS boleh mendapatkan akses kepada kredit tetapi sama ada pembiayaan yang tersedia benar-benar memenuhi keperluan pelaburan produktif dan inovatif yang perlu dilaksanakan oleh mereka.
“Perkara ini penting bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah pertumbuhan yang dipacu produktiviti sekali gus membolehkan penggunaan teknologi, inovasi, peningkatan keupayaan perniagaan dan pelaburan lain yang lebih bergantung pada kapasiti produktif masa hadapan berbanding cagaran sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA