Niaga Hadapan MSM Meningkat Ketara, Disokong Harga Minyak Soya, Minyak Mentah
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup ketara lebih tinggi pada Rabu, disokong kenaikan harga minyak soya dan minyak mentah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata sentimen pasaran turut disokong data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) yang menunjukkan kadar pengeluaran pada awal November lebih perlahan daripada jangkaan.
Beliau berkata jangkaan pengeluaran yang lebih rendah, ditambah dengan pertambahan inventori pada Oktober yang lebih kecil daripada jangkaan, turut mengukuhkan sentimen pasaran meskipun paras stok domestik masih tinggi.
“Kami melihat paras sokongan segera sekitar RM4,300 satu tan dan paras rintangan pada RM4,450 satu tan. Arah pasaran berkemungkinan kekal sensitif terhadap trend pengeluaran dan pergerakan harga minyak sayuran pesaing,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 meningkat RM116 kepada RM4,156 satu tan, kontrak Disember 2026 naik RM143 kepada RM4,281 satu tan, manakala kontrak Januari 2027 meningkat RM154 kepada RM4,410 satu tan.
Kontrak Februari dan April 2027 masing-masing melonjak RM162 kepada RM4,524 dan RM4,679 satu tan, manakala kontrak Mac 2027 mengukuh RM166 kepada RM4,617 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 158,137 lot berbanding 153,954 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 335,671 kontrak daripada 334,827 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan turut meningkat RM90 kepada RM4,170 satu tan.
-- BERNAMA