Kerajaan Teliti Cadangan Perluas Skim i-Sayang KWSP Kepada Isteri Bukan Warganegara
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Cadangan memperluas skop dan cakupan Skim i-Sayang KWSP bagi membolehkan suami warganegara Malaysia membuat caruman secara sukarela untuk isteri bukan warganegara memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan sebarang peluasan kekal selaras dengan tujuan asal i-Sayang serta kerangka dasar simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Kementerian Kewangan (MoF) kesesuaian pelaksanaannya perlu dikaji dengan teliti termasuk dari segi implikasi terhadap perlindungan dan matlamat simpanan persaraan, perundangan, tadbir urus, operasi serta kemampanan program, sebelum sebarang pertimbangan lanjut dibuat,
“Kerajaan melalui KWSP akan terus meneliti cadangan ini secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan perlindungan simpanan persaraan keluarga serta kemampanan program.
“Sebarang pertimbangan untuk memperluas skop i-Sayang kepada isteri bukan warganegara akan dibuat berdasarkan hasil kajian dan kesesuaian pelaksanaannya,” menurut MoF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai strategi dan mekanisme pelaksanaan bagi cadangan memperluas skop dan cakupan Skim i-Sayang KWSP bagi membolehkan suami warganegara Malaysia membuat caruman secara sukarela untuk isteri bukan warganegara.
Menurut MoF, i-Sayang ialah inisiatif kerajaan yang membolehkan suami memindahkan secara sukarela sebanyak dua peratus daripada caruman syer pekerjanya ke akaun KWSP isteri.
“Pada masa ini, suami yang merupakan warganegara Malaysia atau bukan warganegara boleh menyertai i-Sayang, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan manakala bagi penerima pula, isteri hendaklah merupakan warganegara Malaysia dan ahli KWSP,” menurut MoF.
Kementerian memaklumkan sejak diperkenalkan pada Mac 2023, seramai 233,371 orang suami di seluruh negara telah mendaftar sebagai pemberi, melibatkan 233,547 orang isteri sebagai penerima.
Menurutnya sejumlah RM563.6 juta telah dipindahkan melalui i-Sayang sehingga 31 Ogos 2026 yang mencerminkan penerimaan positif terhadap kemudahan tersebut dalam membantu memperkukuh simpanan persaraan isteri.
-- BERNAMA