BERITA TERKINI   Jensen Huang letak jawatan sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif, dan ahli lembaga pengarah NVIDIA berkuat kuasa serta-merta -- laporan | PM Anwar mahu runding semula peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan | 

Hartalega Holdings Catat Untung Bersih Suku Kedua Lebih Tinggi Kepada RM32.80 Juta

KUALA LUMPUR, 12 Nov  (Bernama) -- Hartalega Holdings Bhd mencatatkan untung bersih lebih tinggi kepada RM32.80 juta pada suku kedua berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM18.29 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi.

Pengeluar sarung tangan itu turut memaklumkan hasil meningkat kepada RM644.74 juta pada suku kedua tahun kewangan 2027 daripada RM539.66 juta pada suku kedua yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi, manakala jumlah jualan secara keseluruhannya kekal stabil.

“ASP yang lebih tinggi membantu mengimbangi peningkatan kos bahan mentah, walaupun kenaikan kos itu tidak dipindahkan sepenuhnya kepada pelanggan,” tambahnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Sept, 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM102.83 juta daripada RM30.91 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurut syarikat itu, prestasi yang lebih baik disebabkan oleh ASP yang lebih tinggi, disiplin penetapan harga dan inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan, termasuk kawalan kos yang lebih ketat dan kecekapan pengeluaran yang dipertingkat, yang membantu mengimbangi kenaikan kos bahan mentah serta kos pengeluaran seunit.

Hasil bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027 meningkat kepada RM1.25 bilion daripada RM1.09 bilion dalam tempoh sama sebelumnya, dipacu oleh ASP dalam denominasi dolar AS yang lebih tinggi disebabkan peningkatan kos bahan mentah akibat konflik di Asia Barat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai prospek, Hartalega memaklumkan pihaknya akan meneruskan proses mengaktifkan semula operasi loji pengeluarannya secara berperingkat, iaitu Loji 3 dan seterusnya Loji 4.

Ia menambah perbelanjaan modal akan terus tertumpu kepada usaha menaik taraf dan mengautomasi proses pembuatan serta barisan pengeluaran, termasuk penggunaan aplikasi terpilih yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA