Acer Malaysia Lancar Rangkaian POSWARE Baharu, Sasar 1,000 Unit Pada Hujung 2027
PETALING JAYA, 12 Nov (Bernama) -- Acer Malaysia menyasarkan 1,000 unit peralatan titik jualan (POS) Acer POSWARE di Malaysia menjelang penghujung 2027, berikutan pelancaran rangkaian baharunya hari ini.
Acer Malaysia telah melancarkan rangkaian POSWARE dengan kerjasama SurfsTeK Alliance Sdn Bhd (SurfsTek Malaysia), yang menyasarkan peruncit tempatan serta pengendali makanan dan minuman (F&B), dengan Acer Malaysia membekalkan perkakasan termasuk sokongan selepas jualan.
Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Acer Malaysia, Wong Kim Kean berkata rangkaian itu menawarkan konfigurasi perkakasan untuk perniagaan daripada kafe kejiranan, restoran, pasar raya hingga pasar raya hiper.
“Perniagaan boleh memilih peralatan yang sesuai dengan operasi mereka, termasuk untuk transaksi pembayaran dan penyepaduan dengan sistem runcit sedia ada.
“Kami faham bahawa untuk perniagaan, kebolehpercayaan adalah faktor utama, sama pentingnya dengan prestasi,” katanya semasa pelancaran.
Wong berkata rangkaian perkhidmatan selepas jualan Acer di seluruh negara akan menyediakan sokongan teknikal tempatan untuk perniagaan yang menggunakan peralatan itu.
Ketua Pegawai Jualan SurfsTek Malaysia, John Lim berkata pelancaran itu menampilkan terminal pesanan semua-dalam-satu dan sistem paparan dapur (KDS) yang direka bentuk untuk berfungsi secara bersama.
“Pesanan yang diletakkan di kaunter hadapan boleh dihantar terus ke paparan dapur, yang mana kakitangan boleh melihat makanan dan minuman yang hendak disediakan.
“Terminal pesanan menyokong daftar keluar sendiri, ia juga mempunyai skrin sentuh, pencetak resit terbina dalam dan pengimbas yang boleh membaca kod bar serta kod QR. Skrin kedua boleh menghadap pelanggan dan memaparkan iklan,” katanya.
Lim berkata terminal itu tersedia dengan pilihan pemproses Intel N95, Core i3 dan Core i5, dan boleh dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan pelanggan.
“Sistem paparan dapur menampilkan skrin berbilang sentuh dan selongsong aluminium yang menghilangkan haba dengan lebih berkesan berbanding plastik.
“Setiap terminal akan didatangkan dengan waranti 13 bulan bermula pada tarikh ia dihantar kepada pelanggan akhir,” katanya.
Harga indikatif pengguna akhir bermula pada RM6,999 untuk terminal semua-dalam-satu dan RM4,999 bagi sistem paparan dapur.
-- BERNAMA