EcoWorld, NS Corp Sasar Potensi Kerjasama Bangunkan Penyelesaian Bekalan Air Industri
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dan NS Corporation (NS Corp) akan meneroka potensi kerjasama bagi membangunkan penyelesaian bekalan air industri untuk taman perindustrian.
EcoWorld dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu akan merangkumi Eco Business Park VII (EBP VII) serta mana-mana taman perindustrian lain yang mungkin dibangunkan oleh EcoWorld di Negeri Sembilan pada masa akan datang.
EcoWorld hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan NS Corp iaitu badan berkanun negeri yang ditubuhkan untuk mempromosi, mendorong, mengurus dan menyelaraskan sektor pelaburan dan ekonomi di Negeri Sembilan termasuk pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
“Pemeteraian MoU ini merupakan pengiktirafan terhadap bidang peluang baharu bagi kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempercepat pembangunan infrastruktur air di Negeri Sembilan bagi kegunaan industri.
“Susulan MoU itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan mengenai potensi pembangunan loji rawatan air penyahgaraman sebagai sumber alternatif dan tambahan bagi bekalan air industri untuk taman perindustrian EcoWorld,” menurut kenyataan itu.
Menurut EcoWorld kerjasama itu akan meningkatkan daya saing negeri itu dan projek-projek EcoWorld di dalamnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi utama bagi pelaburan sektor pembuatan dan teknologi bernilai tinggi termasuk pusat data.
Syarikat itu memaklumkan MoU berkenaan mempunyai tempoh selama setahun, dengan pilihan untuk dilanjutkan bagi tempoh seterusnya tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Menurut EcoWorld, Negeri Sembilan merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM41.5 bilion daripada 2023 hingga Jun 2026, dengan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM24.2 bilion (58 peratus) manakala pelaburan langsung asing (FDI) RM17.3 bilion (42 peratus).
“Sebahagian besar daripada pelaburan ini tertumpu kepada MVV 2.0, yang telah berkembang menjadi antara koridor perindustrian paling pesat di Malaysia, disokong oleh lokasinya yang berhampiran Kuala Lumpur, harga tanah yang kompetitif, infrastruktur yang semakin baik serta asas perindustrian yang terus meluas,” menurut kenyataan itu.
Menurut EcoWorld, EBP VII yang terletak dalam MVV 2.0, turut menerima “permintaan yang menggalakkan,” dengan jualan sebanyak RM2 bilion dicatatkan dalam tempoh kurang daripada setahun sejak pelancarannya pada November 2025.
“Minat terhadap projek ini terus meningkat dengan menerima pertanyaan yang berterusan daripada sumber DDI dan FDI,” menurutnya.
-- BERNAMA