Ringgit Meningkat Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama tetapi menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pada Jumaat berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Disember.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0780/0840 berbanding dolar AS daripada 4.0765/0805 semasa ditutup pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS terus meningkat kepada 103.198 mata, didorong oleh jangkaan bahawa Fed mungkin mengambil langkah mengetatkan dasar monetari pada mesyuaratnya bulan depan.

Katanya harga minyak mentah Brent turut naik 3.27 peratus kepada US$95.79 setong, menunjukkan tekanan inflasi dijangka kekal tinggi.

“Bagaimanapun, tuntutan awal pengangguran yang meningkat kepada 200,000 pada minggu lepas dan penguncupan 5.5 peratus bulan ke bulan untuk jualan rumah sedia ada di AS sebahagian besarnya tidak diambil kira oleh peniaga berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Fed terus mendominasi sentimen pasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan antara RM4.07 dan RM4.08 berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.5054/5120 daripada 4.5225/5269 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding pound kepada 5.3952/4031 daripada 5.4103/4156 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5503/5543 daripada 2.5524/5551 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1684/1733 daripada 3.1726/1760 semasa ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0348/0629 daripada 12.0678/0836.

Bagaimanapun, mata wang tempatan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 223.5/224.0 daripada 223.5/223.8 semasa ditutup pada Khamis dan kekal mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.41.

-- BERNAMA