Mandat ‘Membina Dan Membela’ JCorp Jadi Teras Strategi Pertumbuhan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Johor Corporation (JCorp) melihat pertumbuhan sebagai lebih daripada sekadar aspirasi korporat, dengan setiap peluang perniagaan dinilai dengan teliti berdasarkan tujuan utama penubuhannya, iaitu ‘Membina dan Membela’.

Ketua Pegawai Pelaburannya, Shamsul Anuar Majid berkata pertimbangan utamanya adalah sama ada peluang dapat memperkukuh organisasi secara keseluruhan dan mewujudkan nilai yang lebih mampan untuk pihak berkepentingan, mengimbangi peluang dengan tanggungjawab.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pertumbuhan merupakan elemen penting dalam merealisasikan matlamat ‘Membina dan Membela’ kerana JCorp perlu mengembangkan perniagaannya bagi meneruskan agenda organisasi yang luas untuk mewujudkan nilai kepada pihak berkepentingan.

Katanya, pada asasnya, terdapat dua pilihan untuk mencapai matlamat  pertumbuhan, iaitu memperluas portfolio perniagaannya secara organik atau mengambil alih syarikat yang mempunyai potensi untuk berkembang.

Sehubungan itu, JCorp akan terus meneroka peluang pengambilalihan untuk  memacu pertumbuhan, berlandaskan pendekatan pelaburan yang berdisiplin yang mengimbangi potensi pulangan dengan risiko serta melindungi kepentingan pihak berkepentingan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Shamsul Anuar berkata keputusan pengambilalihan memerlukan penilaian teliti terhadap potensi pulangan dan risiko yang terlibat, terutamanya berdasarkan tanggungjawab JCorp sebagai sebuah institusi pelaburan milik kerajaan negeri.

Beliau berkata antara cara untuk mengurangkan risiko adalah dengan mempertimbangkan perniagaan yang mempunyai kaitan atau melengkapi operasi sedia ada JCorp.

“Pengetahuan mengenai bidang perniagaan membantu kami mengurangkan risiko daripada faktor yang tidak diketahui dalam syarikat sasaran, ibarat mencantumkan kepingan baharu pada susun suai gambar yang akhirnya akan membentuk gambar yang lebih besar dan lebih baik.

“Langkah itu juga membolehkan kami menyediakan unjuran aliran tunai yang lebih wajar dan akan membantu kami meyakinkan Lembaga Pengarah untuk meluluskan cadangan pengambilalihan syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kadangkala peluang wujud dalam perniagaan baharu, dengan potensi pulangan yang tinggi sering ditemui dalam bidang teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), penemuan saintifik atau paten.

“Persoalannya, bagaimana kita mendekati peluang ini dari aspek pandangan yang sistematik?

“Sebagai institusi pelaburan milik kerajaan negeri, kami tidak boleh menggunakan pendekatan berdasarkan gerak hati semata-mata,” katanya.

Shamsul Anuar berkata soalan pertama, sebelum analisis terperinci dijalankan adalah sama ada syarikat sasaran menepati strategi perniagaan JCorp yang menyeluruh.

“Jika syarikat sasaran didapati sesuai, ia menepati kriteria pertama manakala soalan kedua ialah, apa yang kita beli?

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai penganalisis pelaburan, kebanyakan syarikat jarang dapat menjawab soalan ini dengan betul.

“Pelbagai faktor positif dikemukakan untuk mewajarkan pengambilalihan tanpa mengenal pasti secara tepat aspek yang menjadikan syarikat sasaran itu menarik,” katanya.

Beliau berkata JCorp menilai asas pertimbangannya dengan meneliti sama ada aset syarikat sasaran menepati hala tuju kumpulan itu.

“Kami bertanya kepada diri sendiri, adakah kami membeli syarikat ini kerana produk baharunya yang mempunyai prospek baik? Berapakah bahagian pasarannya dan bagaimana rekod pertumbuhannya? Adakah portfolio penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berpotensi dimilikinya boleh dikomersialkan?

“Adakah syarikat itu mempunyai teknologi yang dipatenkan atau rahsia dagangan yang unik dalam pasaran? Adakah syarikat itu mempunyai kumpulan tenaga kerja dengan kemahiran khusus atau rangkaian perniagaan yang luas? Bolehkah kontrak sedia ada dan bakal diperolehnya mengembangkan lagi perniagaan kami?” katanya.

Shamsul Anuar berkata perlu ada rasional yang jelas dari segi cara pemilikan perniagaan itu dapat memperkukuh usaha JCorp dalam membina perniagaan untuk masa depan.

Beliau berkata JCorp hanya akan menetapkan nilai kewangan atau harga bagi syarikat sasaran selepas memahami sepenuhnya rasional pengambilalihan itu walaupun proses penilaiannya bersifat abstrak.

Katanya terdapat pelbagai kaedah penilaian yang boleh digunakan, termasuk aliran tunai terdiskaun, nilai perusahaan berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), gandaan nisbah harga kepada pendapatan serta aset ketara bersih.

Bagaimanapun, katanya proses penilaian itu memerlukan pertimbangan yang teliti.

Shamsul Anuar berkata selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenai nilai transaksi, usaha wajar dari aspek perundangan dan kewangan akan dijalankan untuk meneliti dokumen tadbir urus, aset dan akaun kewangan syarikat sasaran.

 “Sebagai sebuah institusi pelaburan milik kerajaan negeri, kami tidak mengambil mudah mengenai aktiviti pengambilalihan syarikat.

“Kami mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri terus dilindungi dalam usaha mengambil alih syarikat baharu dan menjadi sebahagian daripada portfolio kami,” katanya.

Beliau berkata pengambilalihan merupakan aspek penting dalam mengembangkan perniagaan tetapi syarikat menggunakan pendekatan yang teliti dan sistematik dalam melaksanakannya.

“Mencari peluang pengambilalihan secara berterusan adalah sebahagian daripada Membina manakala pendekatan secara sistematik dalam proses itu merupakan sebahagian daripada Membela, bermaksud melindungi kepentingan pihak berkepentingan kami pada setiap masa,” katanya.

-- BERNAMA