Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ketika Minat Belian Berkurangan
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini lebih rendah dalam persekitaran kekurangan minat belian, mencerminkan sentimen berhati-hati yang berterusan, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.37 mata atau 0.21 peratus kepada 1,582.59 daripada 1,585.96 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.47 mata kepada 1,585.49 dan turun naik antara paras terendah harian 1,579.66 dengan paras tertinggi 1,588.10 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 686 berbanding 369 manakala 497 kaunter tidak berubah, 1,232 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 2.84 bilion unit bernilai RM2.36 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM2.56 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kini menyusut selama lima sesi dagangan berturut-turut, sekali gus menghampiri zon terlebih jual.
Beliau berkata keyakinan pelabur masih goyah berikutan kebimbangan mengenai pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan mengenai perubahan kepimpinan Nvidia.
Selain itu, kebanyakan pasaran serantau mencatatkan prestasi lebih lemah, dengan Hong Kong merekodkan penurunan terbesar, diikuti Korea Selatan, Singapura dan Shanghai manakala Jepun mengalami prestasi sebaliknya.
Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 1.55 peratus kepada 23,637.60, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan susut 0.98 peratus kepada 5,290.53, Indeks Straits Times Singapura menurun 0.96 peratus kepada 5,231.84 manakala Indeks Komposit Bursa Saham Shanghai susut 0.59 peratus kepada 3,634.35.
Sebaliknya, Indeks Nikkei 225 Jepun meningkat 0.53 peratus kepada 61,142.35.
Beliau berkata walaupun kelemahan berterusan dan jumlah dagangan yang rendah menunjukkan pelabur masih keberatan untuk meningkatkan pendedahan pelaburan mereka, pembetulan pasaran baru-baru ini telah mewujudkan peluang yang semakin menarik untuk pembelian terpilih pada harga rendah.
“Asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan manakala penilaian saham mewah terpilih terutama saham perbankan, menjadi lebih menarik susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini, sekali gus menawarkan hasil dividen prospektif yang menarik,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB susut satu sen kepada RM7.08, Tenaga Nasional menurun empat sen kepada RM12.76 manakala Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.54, Maybank naik tiga sen kepada RM9.94 dan IHH Healthcare menokok sembilan sen kepada RM7.93.
Dalam dagangan aktif, MMAG susut satu sen kepada tiga sen, CBH Engineering menyusut 14 sen kepada 68 sen manakala Zetrix AI meningkat setengah sen kepada enam sen, GIIB Holdings menokok 2.5 sen kepada 13 sen dan Nexgram tidak berubah pada 5.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Mega Fortris melonjak 23 sen kepada RM1.24, P.I.E Industrial meningkat 12 sen kepada RM1.62, Sarawak Oil Palms menokok 17 sen kepada RM5.48, Hengyuan Refining Company naik 15 sen kepada RM2.75 dan RHB Bank meningkat 20 sen kepada RM7.73.
Kaunter paling rugi diterajui Nestle apabila menyusut RM1.94 kepada RM93.00, Malaysian Pacific Industries rendah RM1.32 kepada RM37.20, Vitrox Corp menurun 60 sen kepada RM9.50, Kuala Lumpur Kepong merosot 52 sen kepada RM20.86 dan MI Technovation susut 50 sen kepada RM5.75.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas susut 51.20 mata kepada 11,736.89 manakala Indeks FBM Top 100 menurun 47.60 mata kepada 11,571.65.
Indeks FBM Emas Syariah menurun 93.59 mata kepada 11,679.68, Indeks FBM ACE merosot 123.77 mata kepada 5,063.14 dan Indeks FBM Mid 70 susut 165.24 mata kepada 16,783.33.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.93 mata kepada 170.09, Indeks Perladangan merosot 123.19 mata kepada 8,796.07 manakala Indeks Tenaga meningkat 1.25 mata kepada 783.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 55.41 mata kepada 18,512.20.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.32 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 1.43 bilion unit bernilai RM2.28 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 744.65 juta unit bernilai RM83.84 juta daripada 836.38 juta unit bernilai RM98.04 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 774.69 juta unit bernilai RM217.13 juta daripada 788.18 juta unit bernilai RM174.71 juta pada Khamis.
Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 205.38 juta saham diniagakan Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (321.08 juta), pembinaan (115.22 juta), teknologi (270.47 juta), perkhidmatan kewangan (59.42 juta), hartanah (55.21 juta), perladangan (28.08 juta), amanah pelaburan hartanah (14.94 juta), dana tertutup (547,900), tenaga (51.63 juta), penjagaan kesihatan (88.19 juta), telekomunikasi dan media (19.10 juta), pengangkutan dan logistik (37.00 juta), utiliti (56.75 juta) serta amanah perniagaan (2,000).
-- BERNAMA