Dua RUU Di Bawah Kementerian Kewangan Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2026 dan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 di bawah Kementerian Kewangan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong yang membentangkan RUU itu berkata bacaan kedua bagi kedua-dua Rang Undang-Undang berkenaan akan dibuat pada sidang kali ini.
RUU Kewangan 2026 bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), Akta Setem 1949 (Akta 378), Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445), Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 (Akta 543) dan Akta Kewangan 2025 (Akta 874).
Menurut RUU itu, Fasal 35 bertujuan untuk meminda subseksyen 3(2) Akta 874 untuk melanjutkan tempoh potongan cukai perseorangan bagi tahun taksiran 2026 hingga tahun taksiran 2027 berkenaan dengan perbelanjaan yang dilakukan atau yang disifatkan telah dilakukan ke atas fi masuk ke tempat tarikan pelancong atau bagi penyertaan dalam suatu program kebudayaan dan kesenian.
“Pindaan ini berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2026 dan 2027,” demikian menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen.
RUU ini tidak akan melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.
Sementara itu, RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah yang berhubung dengan pelaksanaan pemungutan, pentadbiran dan penguatkuasaan cukai dengan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
RUU ini akan melibatkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang ini.
-- BERNAMA