BERITA TERKINI   Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2026 meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion daripada RM25.07 bilion pada suku yang sama pada 2025 | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 30 peratus kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025. | Ahmad Zahid cadang lanjut tempoh latihan PLKN kepada 90 hari atau 180 hari | Kerajaan kaji kaedah manfaatkan tenaga bekas pelatih PLKN sebagai sukarelawan bencana - TPM Ahmad Zahid | 

Tanaman Sawi Jepun Hasil Usaha Graduan UMT Kini Berjaya Tembusi Pasaran Singapura

KLUANG, 16 Nov (Bernama) -- Kegagalan dalam temuduga kerja sebanyak tiga kali tidak mematahkan semangat graduan sains tanaman, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk terus memilih bidang pertanian sebagai punca pendapatannya. 

Bagi Muhammad Hasbullah Zainordin, 28, peluang yang diberikan menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) membolehkannya mengusahakan tanaman sawi Jepun, yang kini berjaya menembusi pasaran Singapura. 

Memasuki tahun kedua mengusahakan tanaman di atas tanah seluas lebih satu hektar itu, Muhammad Hasbullah berkata beliau akhirnya mampu menarik nafas lega apabila berjaya meraih pendapatan bulanan mencecah lebih RM3,000.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata, program IPR-INTAN memberikannya peluang untuk menterjemah dan mempraktikkan segala ilmu yang dipelajarinya di UMT ke dalam dunia sebenar. 

“Lebih setahun selepas tamat pengajian di UMT, saya berusaha mencari pekerjaaan tetap namun menemui jalan buntu, sebelum saya dipelawa untuk menyertai program IPR-INTAN ini tahun lepas dengan kontrak selama lima tahun.

“Alhamdulillah…menerusi program ini saya berpeluang mengusahakan beberapa jenis sayur.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selain sawi Jepun, saya juga menanam sawi bunga dan sawi ‘butterhead’ dengan hasil tuaian bulanan mencecah hampir 300 kilogram,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke projek IPR-INTAN di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kluang, Johor, baru-baru ini.

Selain itu, Muhammad Hasbullah berkata susulan permintaan menggalakkan terhadap tanaman yang diusahakannya, beliau kini dalam proses memohon bagi menambah keluasan kawasan tanaman sawi yang diusahakannya di TKPM Kluang.

Katanya, sasarannya kini adalah untuk menambah kira-kira satu hektar lagi kawasan tanaman bagi membolehkan hasil pengeluaran sayuran itu meningkat sekitar lebih 500 kilogram setiap bulan.

“Selain itu, saya juga merancang untuk memiliki tanah sendiri sebagai perancangan jangka panjang, memandangkan kontrak saya bersama TKPM ini akan berakhir beberapa tahun lagi, sekali gus akan memberikan peluang kepada individu lain untuk memanfaatkan tanah yang ada.

“Lagipun, agak merugikan jika projek tanaman sayur saya ini terhenti begitu sahaja tanpa ada kesinambungannya kerana pelanggan tetap sudah ada dan pasaran juga baik, jadi seeloknya ianya diteruskan di atas tanah milik sendiri sekiranya kontrak ini tamat atau tidak diperbaharui nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan rasa bersyukur dengan inisiatif kerajaan itu kerana ia memberi peluang kepada graduan sepertinya daripada terus menganggur terlalu lama selepas tamat pengajian dan mempunyai pendapatan sendiri.

Sementara itu, Akmal Nasrullah dalam kenyataan di laman Facebook menyatakan bahawa, program IPR-INTAN TKPM Kluang itu adalah hasil usaha sama IRDA dan Chin Sam Chiap Sdn Bhd.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti ekonomi produktif.

Beliau berkata projek di atas tapak seluas 2.8 hektar itu memberi tumpuan kepada tanaman cili menerusi kaedah secara fertigasi, selain sayur berdaun seperti sawi, salad dan kangkung.

Projek itu turut menyasarkan penglibatan 25 peserta dengan sasaran pendapatan RM2,000 sebulan bagi setiap peserta.

Sehingga 31 Ogos lepas, projek itu menghasilkan masing-masing sebanyak 99,864.1 kilogram cili dan 339,749.9 kilogram sayur berdaun dengan jumlah hasil jualan mencecah RM1.618 juta.

Akmal Nasrullah berkata kejayaan IPR itu bukan setakat diukur melalui jumlah pengeluaran dan hasil jualan, namun apa lebih penting adalah bagaimana mereka dapat membina kemahiran, menguasai aktiviti pengeluaran dan pemasaran serta membangunkan keupayaan sebagai usahawan berdaya saing.

--BERNAMA