Disiplin Fiskal, Akauntabiliti Perlu Diterap Dalam Sistem Kerajaan - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Disiplin fiskal dan akauntabiliti perlu diterapkan ke dalam sistem kerajaan itu sendiri supaya ia tidak bergantung kepada individu yang memegang tampuk pentadbiran, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 menghendaki Menteri Kewangan untuk memberikan penjelasan kepada Parlimen mengenai rancangan fiskal jangka sederhana, termasuk objektif bagi mengurangkan defisit dan hutang.
Katanya, Akta Perolehan Kerajaan 2026, apabila mula berkuat kuasa, akan membolehkan keputusan kontrak awam diteliti dengan lebih jelas serta menyediakan ruang untuk semakan.
“Tidak ada undang-undang yang dapat menjamin bahawa kerajaan pada masa akan datang tidak akan melakukan kesilapan. Undang-undang boleh dipinda; institusi pula boleh diabaikan.
“Namun, langkah-langkah perlindungan itu boleh menyukarkan usaha untuk kembali ke tabiat berbelanja berlebih-lebihan, memudahkan Parlimen dan orang ramai menuntut penjelasan, serta menyukarkan untuk memberi alasan bahawa penyalahgunaan kuasa hanyalah satu perkara biasa.
“Begitulah caranya pembaharuan dapat bertahan melangkaui kitaran politik,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah, di sini, hari ini.
Amir Hamzah menyebut subsidi bahan api bersasar sebagai contoh bagaimana pembaharuan terdahulu membantu kerajaan mengambil langkah apabila konflik di luar negara menyebabkan harga minyak melonjak dengan ketara pada tahun ini.
Beliau berkata, menutup ketirisan yang boleh dielakkan memberi ruang kepada kerajaan untuk melindungi isi rumah, di samping menanggung bil subsidi bahan api yang jauh lebih besar.
Mengenai pemeliharaan kekayaan negara untuk generasi akan datang, beliau berkata Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 bertujuan untuk memperkukuh peraturan yang mengawal sumbangan, pengeluaran dan pelaburan kumpulan wang tersebut.
“Ini merupakan manifestasi berbeza bagi tanggungjawab yang sama: untuk memastikan kekayaan yang diamanahkan kepada kita pada hari ini terus mewujudkan peluang bagi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata Yayasan Khazanah bermula pada 2006, ketika Malaysia sedang mempelajari cara mengurus aset negara dengan pendekatan yang berbeza.
Amir Hamzah menyifatkan potensi rakyat Malaysia sebagai satu lagi bentuk kekayaan negara, yang nilai kekalnya bergantung kepada tindakan generasi akan datang terhadap peluang yang diwarisi mereka.
– BERNAMA