BERITA TERKINI   Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2026 meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion daripada RM25.07 bilion pada suku yang sama pada 2025 | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 30 peratus kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh yang sama pada 2025. | 

Residensi Cove, Residensi Palma Elit Milik Keb Di Landasan Tepat Untuk Siap Awal Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Projek kediaman KEB Bhd iaitu Residensi Cove di Melaka dan Residensi Palma Elit di Kajang, Selangor dijangka siap tahun depan, kira-kira setahun lebih awal daripada jadual asal, kata Pengarah Eksekutifnya Vinson Lim.

Lim memberitahu, kumpulan itu sedang mengembangkan portfolio pembangunan hartanahnya dan memperkukuh kehadiran syarikat dalam pasaran.

Menurut beliau, pihaknya turut meneruskan perancangan untuk melancarkan empat projek baharu antara 2026 hingga 2028 termasuk Residensi Embun Palma di Cheras dan Residensi Jentayu di Hulu Langat, Selangor.

Ad Banner
Ad Banner

"Residensi Embun Palma di Cheras disasarkan untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini manakala Residensi Jentayu di Hulu Langat disasarkan untuk dilancarkan pada suku pertama 2027,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyenaraian KEB di Pasaran ACE di sini hari ini.

Lim menjelaskan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan kumpulan itu merangkumi projek yang sedang dilaksanakan dan bakal dilancarkan berjumlah kira-kira RM1.74 bilion.

“Kami juga telah membuktikan keupayaan untuk mengekalkan prestasi dalam pelbagai persekitaran pasaran. Bagi projek terbaharu kami, kadar jualan telah melebihi 90 peratus,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, Lim memaklumkan KEB merancang untuk memperbanyak simpanan tanahnya menerusi pengambilalihan secara langsung dan pengaturan usaha sama khususnya di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Inisiatif ini akan memperkukuh saluran pembangunan projek kami dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang kumpulan,” katanya.

Beliau turut memberitahu KEB mengekalkan dasar dividen dengan mengagihkan antara 20 hingga 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai sebagai usaha untuk memberi pulangan kepada pemegang saham setiap tahun.

Lim menambah bahawa kumpulan itu turut mempunyai simpanan tanah seluas kira-kira 24.2811 hektar yang dijangka dapat menyokong perancangan pembangunan antara 10 hingga 12 projek dengan potensi untuk menambah jumlah tersebut menerusi penerokaan peluang pembangunan yang berterusan.

Terdahulu, saham KEB dibuka tidak berubah pada 35 sen pada hari pertama dagangannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sebanyak 9.51 juta saham diniagakan.

Sementara itu, Lim berkata inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pembeli rumah pertama kali dijangka terus merangsang permintaan khususnya memandangkan kebanyakan projek pembangunannya berharga di bawah RM500,000.

Beliau menyatakan pelanjutan pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembeli rumah pertama yang membeli hartanah berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Dis 2030, akan membantu mengurangkan kos pemilikan rumah serta menyokong permintaan dalam kalangan kumpulan berpendapatan B40 dan M40.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada kami, khususnya memandangkan tumpuan kami adalah kepada hartanah kediaman mampu milik dan segmen harga sederhana,” tambahnya.

Pada 5 petang, saham KEB susut 6.5 sen kepada 28.5 sen dengan sebanyak 29.49 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA