Kerajaan Tidak Bercadang Wujudkan Koridor Ekonomi Baharu, Perkukuh NCER, BEZ – Kementerian Ekonomi
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang mewujudkan koridor ekonomi baharu di Wang Kelian, sebaliknya akan memperkukuh kerangka Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) yang kini dalam proses pemuktamadan, menurut Kementerian Ekonomi.
Timbalan Menterinya Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pendekatan itu bertujuan mengelakkan pertindihan fungsi dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), selain memaksimumkan potensi perdagangan rentas sempadan antara Malaysia-Thailand.
Beliau berkata kerajaan kini sedang memuktamadkan kajian pembangunan BEZ yang melibatkan empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Kajian ini bertujuan menilai dan meneroka cadangan pembangunan kawasan sempadan dengan memberi tumpuan kepada pintu-pintu sempadan strategik.
“Selain itu, kerajaan Thailand juga sedang memuktamadkan kajian seumpamanya dengan kerjasama Bank Dunia bagi menilai potensi pembangunan wilayah di kawasan sempadan negara itu dengan Malaysia,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai cadangan kerajaan menjadikan Koridor Wang Kelian-Padang Besar-Bukit Kayu Hitam sebagai model ekonomi sempadan Malaysia-Thailand.
Mohd Shahar berkata cadangan pembangunan BEZ Malaysia-Thailand itu akan dibawa untuk rundingan dua hala menerusi platform Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) atau platform dua hala lain yang bersesuaian.
Pada masa sama, beliau menyambut baik pandangan Rushdan bahawa Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi laluan transit perdagangan negara jiran, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menguasai pasaran menerusi aktiviti nilai tambah dan pemprosesan produk hiliran.
Antara inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan termasuk Perlis Inland Port (PIP), Lembah Chuping dan pembangunan Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata PIP kini mengendalikan kira-kira 100,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun, dengan jumlah pengendalian dijangka meningkat kepada 180,000 TEU setahun.
“Pembangunan kawasan sempadan merupakan antara agenda penting kerajaan bagi memperkukuh ekonomi wilayah, meningkatkan keterhubungan rentas sempadan serta memperluas aktiviti perdagangan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralihan tenaga, teknologi digital, agromakanan, produk halal serta pelancongan.
-- BERNAMA