BERITA TERKINI   Seorang anggota polis maut, 10 cedera selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan di KM352 PLUS arah selatan - Ketua Polis Negeri | Menteri MITI Datuk Seri Johari Abdul Ghani gesa kerjasama Malaysia–Perancis yang lebih luas dalam AI dan keselamatan siber | Malaysia alu-alukan firma kejuruteraan dan teknologi Perancis sebagai rakan kongsi dalam pembangunan TBB, dengan kilang minyak sawit mampu menjana elektrik daripada biojisim dan biogas - Johari | Syarikat aeroangkasa Perancis digesa memperluas perolehan tempatan dan membantu membangunkan ekosistem aeroangkasa domestik yang komprehensif - Johari | Malaysia meterai perjanjian dengan Perancis bagi perolehan empat helikopter Mencari dan Menyelamat Tempur untuk TUDM - Khaled Nordin | 

PAC Bimbang Penyertaan Fasa Rintis MediAsas Rendah, Sampel Tidak Mewakili Pengguna

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melahirkan kebimbangan terhadap jumlah penyertaan dalam fasa rintis MediAsas di Lembah Klang yang disifatkan terlalu kecil dan tidak mewakili keseluruhan pengguna perkhidmatan kesihatan swasta.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata hanya 1,600 individu menyatakan minat terhadap MediAsas berbanding 9.9 juta individu yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta, iaitu kurang daripada 0.1 peratus.

Beliau berkata penyertaan fasa rintis itu juga terhad kepada pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat insurans yang sememangnya telah mempunyai perlindungan perubatan daripada majikan.

Ad Banner
Ad Banner

"Fasa rintis ini sehingga kini tidak mencatatkan sebarang kes pesakit sebenar yang dimasukkan ke wad atau membuat tuntutan (zero claims recorded). Keadaan ini menyebabkan keseluruhan rantaian operasi belum teruji secara praktikal.

"PAC menegaskan bahawa MediAsas sepatutnya menjadi jaringan perlindungan kepada masyarakat umum, termasuk pekerja sektor tidak formal, petani dan nelayan, dan bukan sekadar disasarkan kepada kelompok pertengahan (M40)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Penyata Tindakan Susulan berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak kepada Kesihatan Awam di Dewan Rakyat, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mas Ermieyati berkata konsep perubatan mampu milik perlu diteliti secara telus dengan memperincikan kadar deduktibel (deductibles), had caruman dan bayaran bersama (co-payment) bagi memastikan MediAsas tidak berdepan tekanan peningkatan kos seperti yang membelenggu polisi insurans komersial sedia ada.

"Kerajaan digesa menunjukkan iltizam yang teguh untuk mematuhi garis masa pelaksanaan inisiatif tanpa sebarang kompromi, seperti kejayaan penyelarasan projek berimpak tinggi merentas agensi yang lain," katanya.

Sementara itu, beliau berkata PAC berpandangan bahawa langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberikan perlindungan daripada pelarasan premium melebihi 10 peratus kepada 80 peratus pemegang polisi masih belum memadai.

Beliau berkata perlindungan kawal selia sepatutnya merangkumi semua pemegang polisi agar tiada kelompok pengguna yang tercicir dan terbeban dengan kenaikan premium secara mendadak.

"Pada masa yang sama, BNM digesa memperketat pemantauan di peringkat ejen dan kaunter penyedia perkhidmatan bagi memastikan hak serta pilihan alternatif dijelaskan secara telus kepada pelanggan," katanya.

PAC akan terus memantau pelaksanaan inisiatif di bawah agenda RESET, khususnya MediAsas, dan memanggil semula mana-mana pegawai pengawal sekiranya berlaku kegagalan atau kelewatan dalam memenuhi syor yang telah dikemukakan jawatankuasa itu.

"Pemantauan berterusan ini bertujuan memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan terjamin, kenaikan kos perubatan yang tidak munasabah dapat dibendung dan beban kewangan pengguna dapat dikurangkan," katanya.

-- BERNAMA