TNB Tekankan Kesediaan Grid, Daya Maju Komersial Penting Dalam Merealisasikan Pelaburan Tenaga Angin
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kesediaan grid, kepastian kawal selia, struktur hasil yang berdaya maju dari segi komersial serta pengurusan risiko yang berkesan adalah penting untuk menterjemahkan potensi tenaga angin kepada pelaburan yang boleh dibiayai oleh bank dan pertumbuhan mampan, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Ketua Pegawai Tenaga Baharunya Mohd Zarihi Mohd Hashim berkata faktor-faktor itu amat penting dalam memajukan projek tenaga angin daripada peringkat pembangunan sehinggalah kepada pelaksanaan di tengah-tengah peralihan tenaga global yang semakin pesat.
Beliau berkongsi pandangan TNB mengenai masa depan pelaburan tenaga angin semasa sesi perbincangan panel bertajuk 'The State of Wind and the Road Ahead' (Perkembangan Semasa Tenaga Angin dan Hala Tuju Masa Depannya) di acara Enlit Europe 2026, menurut hantaran TNB di media sosial.
Mohd Zarihi turut menekankan pentingnya perancangan awal projek, kerjasama strategik dan peruntukan modal yang berdisiplin.
Berdasarkan pengalaman TNB dalam bidang tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa menerusi Vantage RE di United Kingdom dan Spark Renewables di Australia, beliau berkata pertumbuhan mampan dalam sektor itu perlu berteraskan pelaburan yang berdaya maju dari segi komersial, risiko yang boleh diurus dan penciptaan nilai jangka panjang.
Vantage RE dan Spark Renewables merupakan anak syarikat milik TNB.
Tenaga angin yang memanfaatkan pergerakan udara melalui turbin untuk menjana elektrik, merupakan sumber tenaga boleh baharu yang penting dalam peralihan global ke arah penjanaan tenaga elektrik yang menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah.
Beliau menambah pendekatan itu akan membolehkan TNB mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur dan pemaju tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa, di samping menyokong masa depan tenaga yang lebih mampan.
-- BERNAMA