BERITA TERKINI   Malaysia meluluskan pelaburan dari Perancis bernilai RM812.68 juta di bawah Malaysia Digital antara 2024 dan 2026 - Menteri Digital | Seorang anggota polis maut, 10 cedera selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan di KM352 PLUS arah selatan - Ketua Polis Negeri | Menteri MITI Datuk Seri Johari Abdul Ghani gesa kerjasama Malaysia–Perancis yang lebih luas dalam AI dan keselamatan siber | Malaysia alu-alukan firma kejuruteraan dan teknologi Perancis sebagai rakan kongsi dalam pembangunan TBB, dengan kilang minyak sawit mampu menjana elektrik daripada biojisim dan biogas - Johari | Syarikat aeroangkasa Perancis digesa memperluas perolehan tempatan dan membantu membangunkan ekosistem aeroangkasa domestik yang komprehensif - Johari | 

Kesiapsiagaan Grid Elektrik Penting Untuk Tampung Peningkatan Permintaan Pusat Data AI - TNB

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang memperkukuh rangkaian pengagihan elektrik dan mempercepat perancangan pembangunan infrastruktur bagi menampung peningkatan permintaan tenaga elektrik susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan industri pusat data, di samping memastikan bekalan kepada pengguna sedia ada kekal stabil dan terjamin.

Ketua Pegawai Rangkaian Pengagihan TNB Ir Ahmad Sazree Abd Aziz berkata syarikat utiliti perlu menjangkakan pertumbuhan permintaan dan membangunkan infrastruktur yang diperlukan lebih awal bagi memenuhi keperluan baharu seiring perkembangan ekonomi digital Malaysia.

Bercakap pada sesi perbincangan panel bertajuk "Tackling the Grid Impact of Data Centres" sempena Enlit Europe 2026, beliau berkata usaha mengekalkan kebolehpercayaan grid elektrik akan terus menjadi keutamaan susulan peningkatan keperluan tenaga elektrik oleh pusat data dan industri berteraskan AI.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut hantaran TNB di media sosial, Ahmad Sazree berkata syarikat itu sedang menambah baik unjuran permintaan, melabur dalam pengukuhan rangkaian serta mempergiat pemantauan digital dan automasi bagi meningkatkan keupayaan pemantauan rangkaian, kecekapan operasi dan daya tahan grid.

Menerusi inisiatif Green Lane Pathway dan Pusat Sehenti (OSC), TNB turut memudah cara proses penyambungan bekalan elektrik dengan menyelaraskan keperluan pemaju dengan tahap kesiapsiagaan rangkaian elektrik.

Beliau berkata inisiatif itu membolehkan penyambungan bekalan elektrik diselesaikan dalam tempoh seawal 12 bulan, tertakluk kepada keperluan khusus setiap projek, tanpa menjejaskan kebolehpercayaan bekalan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ahmad Sazree turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan grid memerlukan kerjasama erat antara penggubal dasar, pengawal selia, syarikat utiliti, pengendali pusat data dan rakan teknologi bagi menyelaraskan pelaburan, meningkatkan ketepatan unjuran permintaan serta meneroka penggunaan elektrik yang lebih fleksibel.

Industri pusat data Malaysia yang semakin berkembang dijangka meningkatkan permintaan elektrik dengan ketara dalam beberapa tahun akan datang.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), memaklumkan bahawa penggunaan elektrik oleh pusat data di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat kepada 73,274 gigawatt-jam (GWh) atau 31 peratus daripada jumlah permintaan elektrik menjelang 2035, berbanding 10,544 GWh atau tujuh peratus pada 2026.

Permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia juga diunjurkan meningkat kepada 33.5 gigawatt (GW) menjelang 2035 berbanding 21.3 GW pada 2026, didorong oleh perkembangan industri pusat data dan sektor berteknologi tinggi.

Menurut PETRA, setakat Ogos 2026, sebanyak 45 pusat data telah beroperasi di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti bekalan elektrik keseluruhan sebanyak 6.04 GW.

"Seiring dengan usaha Malaysia mempercepat transformasi digital, TNB kekal komited untuk membangunkan grid elektrik yang lebih pintar, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, memperkukuh keselamatan tenaga serta memajukan peralihan tenaga negara," menurut syarikat utiliti itu.

-- BERNAMA